KUALA LUMPUR 6 Sept. – Keputusan kerajaan menaikkan gaji minimum daripada RM1,000 ke RM1,050 tidak mencukupi untuk meringankan beban rakyat miskin.
Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah berkata, janji ke-34 dalam manifesto Pakatan Harapan jelas menyatakan bahawa gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,500 sebulan di seluruh negara dan satu penjelasan yang memuaskan perlu diberikan terhadap keputusan tersebut.
“Kenaikan sebanyak RM50 yang diumumkan tidak mungkin akan memberi kesan yang banyak kepada golongan paling memerlukan iaitu golongan B40 dan masyarakat miskin bandar.
“Golongan ini semakin dibebankan dengan peningkatan kos barangan yang tinggi dan kebanyakan rakyat yang miskin tidak mampu menyara kos hidup mereka sekiranya bergantung kepada gaji minimum sebanyak RM1,050,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Semalam, kerajaan bersetuju melaksanakan kadar gaji minimum yang seragam di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak iaitu RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam, berkuat kuasa 1 Januari 2019.
Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan, kerajaan juga memutuskan tidak memberi sebarang subsidi kepada majikan berikutan kekangan kewangan semasa negara.
Sehubungan itu, Maria menggesa laporan mengenai cadangan kenaikan gaji minimum kepada rakyat dihebahkan supaya mereka faham dengan keputusan yang dilakukan.
![]() |
|
KHAIRY JAMALUDDIN
|
“Kerajaan perlu menerangkan kepada rakyat mengapa cadangan Majlis Perunding Gaji Negara (MPGN) untuk meningkatkan gaji minimum sebanyak RM50 sebulan dipersetujui,” katanya.
Pada masa sama, Maria turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak mengambil langkah untuk memberikan subsidi kepada majikan bagi membiayai kos peningkatan gaji minimum yang juga telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14).
“Saya berharap kerajaan mengambil serius isu peningkatan kos sara hidup di bandar dan mengkaji semula kadar kenaikan gaji minimum ini dan penyelesaian kepada masalah kemiskinan di negara ini adalah satu yang amat penting dan harus diberikan tumpuan sepenuhnya.
Sementara itu, bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin melalui laman Twitter miliknya mengakui kerajaan perlu mengimbangi kepentingan majikan dan pekerja dalam menangani isu tersebut.
“Kalau paras gaji minimum terlalu tinggi, boleh menjejaskan kedudukan majikan. Kalau terlalu rendah, nasib pekerja tidak dijaga, namun pengumuman kerajaan bahawa gaji minimum terbaru adalah RM1,050 berbanding RM1,000 mengecewakan,” katanya.











