Muzium seni terawal miliki bangunan sendiri - Utusan Malaysia

Muzium seni terawal miliki bangunan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Memori menghasilkan karya seni menggunakan cat air sejak di bangku sekolah rendah masih segar dalam ingatan Fatimah Aliaa Osman, 27.

Gadis kelahiran Jitra, Kedah itu setia menanti subjek pendidikan seni setiap minggu.

Hal ini kerana anak ketiga daripada empat beradik itu merasakan dirinya cukup bebas dan seronok mencanting berus di atas kertas lukisan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Ia merupakan ruang untuk mengekspresikan perasaannya yang terbuku dalam diri menerusi lukisan.

Keasyikan tersebut mendorong Fatimah Aliaa untuk berkunjung ke institusi awam yang berfungsi sebagai arkib seni visual negara iaitu Balai Seni Negara (BSN).

Inspirasi

“Saya memang sudah lama memasang impian untuk datang ke BSN sejak kecil lagi kerana mahu melihat karya seni visual terkemuka artis-artis tempatan.

“Apabila melihat karya-karya seni yang dipamerkan, saya rasa lebih tenang selain dapat mencari idea dan inspirasi baharu untuk projek saya yang seterusnya,”katanya.

Sebab itulah, dia tidak pernah ketinggalan mengikuti setiap pameran yang dianjurkan di BSN lebih-lebih lagi sejak berhijrah ke Kuala Lumpur selepas berkahwin pada pertengahan tahun 2017.

Dia turut mempamerkan hasil lukisannya pada acara KL Biennale awal tahun lalu. Fatimah Aliaa mengakui, dia cukup teruja dan berbangga setiap kali berkunjung ke BSN lebih-lebih institusi tersebut kini menginjak usia 60 tahun.

BSN ditubuhkan pada 28 Ogos 1958 sebagai arkib seni visual yang menyimpan lukisan dan karya seni warisan negara.

Sepanjang enam dekad, kira-kira 4,354 hasil seni nukilan pengkarya dipelihara dalam himpunan tetap galeri seni tersebut.

Hasil seni itu juga terdiri daripada seni rupa, seni arca, seni cetak, lukisan cat air, cat minyak, fotografi dan media baharu termasuk seni digital.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Amerrudin Ahmad, BSN ditubuhkan setahun selepas Malaysia mencapai kemerdekaan daripada British.

Bagaimanapun, proses penubuhan BSN bermula seawal tahun 1954 lagi.

“Pada awalnya, Pengerusi Majlis Kesenian Persekutuan (MAC), Tan Sri Mubin Sheppard menulis nota kepada Pesuruh Jaya Tinggi Tanah Melayu, Sir Gerald Templer berkenaan keperluan untuk membina sebuah balai seni.

“Perbincangan bersama lapan lagi ahli MAC lain ketika itu sepakat menyatakan bahawa balai seni itu merupakan tunjang kepada ketamadunan sesebuah negara.

“Selepas perbincangan itu dimuktamadkan beberapa tahun kemudian, Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman bersetuju menubuhkan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) pertama ketika itu di Bangunan Dewan Tunku Abdul Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur,” jelasnya.

Selain Mubin, individu lain yang membantu membangunkan BSLN pada tahun-tahun awal penubuhannya ialah Setiausaha Akhbar Perdana Menteri, Frank Sullivan; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Ghazali Shafie dan Penolong Setiausaha Kementerian Luar Negeri; Tan Sri Zain Azraai.

Ketika ditubuhkan pada tahun 1958, muzium seni ini bermula dengan menumpang di bangunan tersebut dan kekal di situ sehingga tahun 1984.

Selepas perkembangan seni rupa semakin pesat di Malaysia, BSLN kemudiannya berpindah ke bekas Bangunan Hotel Majestic di Jalan Sultan Hishamuddin, Kuala Lumpur pada tahun 1984 sehingga tahun 2000.

Jelas Amerrudin, penempatan muzium seni di bangunan bersejarah sesebuah negara pada masa itu merupakan trend yang turut menjadi amalan negara luar.

Pada tahun 2000, BSLN berpindah lagi sekali selepas keperluan kepada bangunan kekal ekoran percambahan idea pengkarya, peningkatan jumlah karya dan pengumpul seni tanah air.

Teknologi

Ia mula beroperasi di bangunan di Jalan Temerloh, melalui Jalan Tun Razak, bersebelahan Istana Budaya yang kemudiannya ditukarkan nama kepada Balai Seni Visual Negara (BSVN) sebelum menjadi nama kepada BSN.

Ketua Pengarah BSN terkini ialah Prof. Datuk Mohamed Najib Ahmad Dawa.

“Bangunan ini menyediakan tujuh buah galeri, sebuah bengkel, gedung kreatif, pusat sumber, auditorium dan bangunan pentadbiran.

“BSN merupakan muzium seni terawal di Asia Tenggara yang beroperasi di bangunan sendiri pada ketika itu,” kongsinya.

Tambah Amerrudin, BSN turut dilengkapi teknologi penyerapan kelembapan, penyelarasan suhu dan perbandingan cahaya bagi memastikan hasil seni terus dalam keadaan terbaik.

Ia juga memiliki pakar merawat lukisan bagi memulihara lukisan-lukisan lama.

Ulang tahun ke-60 BSN baru-baru ini disambut meriah dengan pelbagai pameran diadakan antaranya A Place Called Home, Teh Tarik With The Flag, Minta Perhatian selain penerbitan majalah Informasi Seni Senikini, setem dan barangan eksklusif edisi terhad.

Ia disempurnakan dengan acara perasmian oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Antara yang mencuri perhatian pengunjung ialah deretan lebih 4,000 karya seni visual yang dipamerkan dalam bentuk digital dan ia boleh diakses di ruang galeri dengan fungsi skrin sentuh.

Ujar Amerrudin lagi, selain membingkai hala tuju bidang seni tanah air, BSN turut mengambil inisiatif memelihara industri seni itu dengan cara lebih menyeluruh.

Bagi menjayakan inisiatif berkenaan, BSN membuka cawangan baharu di Dayang Bay, Langkawi yang akan beroperasi dalam masa terdekat.

Cawangan baharu tersebut memberi fokus kepada usaha peningkatan kemahiran dan penambahbaikan terhadap pelukis serta kurator tempatan.

“Langkawi merupakan destinasi pelancongan mewah bebas cukai yang bukan sahaja memberi manfaat kepada pelancong malah pengkarya tempatan.

“Justeru, pembukaan cawangan baharu ini dilihat alternatif terbaik mengisi ekosistem industri ini sekali gus merancakkan ekonomi di kawasan yang popular menerima kunjungan pelancong asing,” kongsinya.

Salah satu program antarabangsa yang akan dilaksanakan di cawangan tersebut ialah Persidangan Seni dan Rekaan Asia Antarabangsa atau The Asia International Conference Art and Design (AICAD) 2018 pada Oktober nanti.

Selain itu, BSN juga memberi penekanan pengkomersialan budaya menerusi salah satu programnya iaitu Usahawan Seni Muda (YAE).

Jelas Amerrudin, YAE merupakan usaha yang memberi ruang dan nilai tambah kepada penggiat seni untuk menceburi bidang keusahawanan bagi menjual hasil karya yang dilihat berupaya menjana pendapatan mereka.

Sehingga kini, program YAE telah berjaya melatih seramai tujuh peserta daripada diri pertama iaitu bagi tempoh Julai 2017 hingga Julai 2018 dengan meraih jumlah pendapatan sebanyak RM192 ribu.

Siri kedua yang bermula dari bulan Februari hingga Jun lalu telah berjaya melatih 12 orang peserta dengan pendapatan keseluruhan sebanyak lebih RM58,000.

Menurut peserta program YAE siri ketiga, Brandon anak Simon Scott, 28, ulang tahun BSN ke-60 merupakan satu penanda aras yang sangat penting terhadap industri seni negara.

“Kita boleh lihat senario perkembangan seni ini semakin bertambah baik berbanding beberapa dekad lalu khususnya dari segi penerimaan masyarakat.

“Oleh yang demikian, semua pihak harus bersama-sama institusi ini untuk mengangkat martabat karya seni lebih-lebih lagi di peringkat akar umbi.

“Hal ini kerana golongan tersebut merupakan individu yang akan mendukung industri ini pada masa depan dan mereka tidak mungkin dapat berjaya tanpa sokongan pelbagai pihak,” tegasnya.

Balai Seni Negara yang ditubuhkan pada 29 Ogos 1958 menyediakan platform untuk artis serta karyawan mempamerkan karya seni dan kini mendepani cabaran kemunculan media baharu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini