PUTRAJAYA 18 Sept. – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed perlu keluar daripada UMNO lebih awal sekiranya berasakan parti itu sudah tidak selari dengan perjuangannya.
Dr. Mahathir berkata, bekas pemimpin UMNO itu perlu sedar lebih awal bahawa parti tersebut telah rosak.
“Barangkali sudah sedar tetapi (tindakannya) lambat sikit, (patut) dia sedar awal lagi UMNO sudah rosak, (tetapi) baru hendak keluar sekarang tak apalah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Malam Anugerah Francais, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu yang turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO kerana berasakan hala tuju diambil UMNO pada masa ini tidak lagi selari dengan prinsip politik yang menjadi pegangannya selama ini.
Dalam pada itu, ditanya sama ada Mustapa akan diterima menyertai Pakatan Harapan, Perdana Menteri berkata, beliau tidak mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut.
“Tak tau, beliau tak kata apa pun. Kalau beliau nak join (sertai) beliau perlu tunjuk berlainan dari dahulu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











