PADA pagi itu, Saidatul Akma Ahmad Yani, 13, begitu teruja apabila dapat merasai keenakan piza yang dijual di Kafe Niner’s Bakery yang terletak di dalam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 9, Shah Alam, Selangor.
Pelajar tingkatan satu di sekolah berkenaan itu mula membeli dan menikmati makanan berasal dari negara Itali tersebut sejak kafe berkenaan beroperasi secara rasmi pada 5 Januari lalu.
Walaupun dijual pada harga RM2 untuk sekeping atau RM15 sekeping, namun ia tidak menghalangnya untuk membeli makanan itu.
“Piza ini rasanya cukup sedap. Rasanya ada manis dan pedas.
“Biasanya saya beli tiga keping piza dan ia turut menjadi rebutan para pelajar lain terutamanya pada waktu rehat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sekolah berkenaan baru-baru ini.
Kafe tersebut hanya beroperasi tiga kali seminggu iaitu Isnin, Selasa dan Khamis bermula pukul 9.30 pagi hingga 1.30 petang.
Ia terletak bersebelahan kelas Murid Berkeperluan Khas (MBK) sekolah berkenaan yang berumur 15 hingga 19 tahun.
MBK merujuk kepada keperluan kanak-kanak iaitu atas satu sebab atau yang lain memerlukan bantuan khas, sokongan dan rangsangan.
Ia tergolong kepada kanak-kanak yang mengalami perkembangan lambat dalam satu atau lebih daripada sebab berikut iaitu kerencatan akal, kecacatan fizikal, kekurangan penglihatan, kekurangan pendengaran, gangguan pertuturan serta kesukaran dalam perkembangan sosial dan emosi.
Sebahagian daripada kanak-kanak itu mungkin memerlukan bantuan khas untuk sepanjang hayat mereka atau bantuan untuk suatu jangka masa tertentu.
Kafe itu turut menawarkan hidangan spageti, roti daging dan jagung.
Lebih mengagumkan, kafe itu dioperasikan oleh 12 orang pelajar MBK sekolah berkenaan.
Salah seorang pelajar yang terlibat ialah Naveerel Shar Abu, 15, yang kini seronok mengendalikan kafe tersebut.
“Pada peringkat permulaan, saya tidak suka membuat piza ini kerana ia agak susah. Lama-kelamaan saya makin mahir dan mula menyukainya terutamanya apabila berjaya menghasilkan doh yang gebu.
“Lebih seronok apabila melihat rakan-rakan membeli piza dalam kuantiti banyak dan memuji masakan kami,” katanya yang merupakan pelajar bermasalah pembelajaran.
Anak kepada pasangan pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam itu memberitahu, setiap pelajar telah dibahagikan kepada tugasan tertentu dalam melancarkan operasi kafe tersebut.
Mereka dibahagikan kepada penjaga kaunter, mengemas meja dan pinggan, menimbang, memotong serta memasak piza.
Masak piza
“Saya ditugaskan di bahagian pembuatan piza bermula daripada proses menimbang bahan, membuat doh dan memasak.
“Setiap piza akan dihasilkan pada suhu 180 darjah Celsius dalam masa lapan hingga 10 minit tempoh memasak. Setiap hari kami menghasilkan 320 keping piza dengan kesemuanya habis dijual kepada pelajar serta guru-guru sekolah ini,” terangnya.
Naveerel yang pernah tinggal dan belajar di Norway selama lima tahun menegaskan, corak pendidikan di negara ini ternyata berbeza berbanding di negara tersebut apabila pengkhususan diberikan kepada MBK dalam segi pembelajaran.
Ujarnya, berbanding di Norway mereka dikehendaki berada di dalam kelas yang sama bersama pelajar normal membuatkan tumpuan tidak dapat diberikan secara khusus kepada pelajar-pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran.
“Walaupun baru setahun mengikuti kelas di sekolah ini, saya rasa penambahan ilmu dan kemahiran jelas berbeza yang sangat membantu proses berdikari saya,” ujarnya yang meminati pemain bola sepak veteran Sweden, Zlatan Ibrahimovic.
Tidak dinafikan kerja-kerja menyediakan piza dan makanan lain di Kafe Niner’s Bakery memberikan satu cabaran kepada MBK SMK Seksyen 9 itu.
Usahawan
Namun bagi Nur Suleeza Mohd. Sahuruddin, 17, yang mempunyai masalah pembelajaran berkata, kafe itu memberi inspirasi kepada dirinya dan rakan-rakan lain dalam membina keyakinan diri dan membuang sifat malu serta rendah diri.
Jelasnya yang mengagumi kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kafe itu secara langsung adalah medium dalam mengasah bakat dan kemahiran pelajar-pelajar pendidikan khas yang dianggap ‘istimewa’ mengikut kelebihan masing-masing.
“Sebelum ini, saya hanya memakan piza yang dibeli, namun keadaan berbeza apabila membuat dan memasaknya sendiri bersama rakan-rakan lain.
“Program ini memberi ruang dan peluang kepada kami mempelajari sesuatu perkara baharu dan melengkapkan diri dalam bidang masakan serta usahawan,” ujarnya.
Bagaimanapun, anak bongsu daripada lima beradik itu mengakui bahawa perkara yang paling sukar dalam pembuatan piza adalah doh.
“Doh adalah perkara asas untuk memasak piza dan paling penting ia lembut serta enak dimakan,” kata anak bongsu daripada lima beradik itu.
Sementara itu, Penolong Kanan Pendidikan Khas SMK Seksyen 9, Shah Alam, Noraini Ahmad, 44, memberitahu, pihaknya menjalankan proses pemilihan terhadap 98 pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah tersebut yang akan dipertanggungjawabkan bagi mengoperasikan kafe tersebut.
Katanya, pemilihan tersebut dilakukan berdasarkan minat dan kemahiran para pelajar terhadap bidang kulinari dan usahawan dengan dibantu oleh empat orang guru.
“Sebenarnya, piza ini merupakan hasil eksperimen guru-guru terlibat dalam pengoperasian kafe itu menerusi kaedah cuba jaya selama dua bulan berikutan guru tersebut bukan daripada bidang kulinari.
Sokongan
“Rancangan pembukaan kafe ini adalah bagi membuktikan bahawa tiada pelajar yang tercicir dan dinafikan hak daripada mendapat pendidikan berkualiti dan inklusif,” katanya.
Jelas Noraini yang mempunyai pengalaman mendidik selama sembilan tahun itu, setiap pelajar yang terlibat akan diberikan duit saku atau elaun semasa jamuan akhir tahun hasil perniagaan mereka.
Selain itu, hasil jualan juga digunakan untuk membeli bahan-bahan mentah seperti tepung, gula dan telur.
Dalam sebulan, kafe tersebut mampu menjana pendapatan sehingga RM1,000.
Ujarnya, pihak sekolah tidak mengambil sebarang keuntungan daripada perniagaan kafe yang diusahakan oleh pelajar pendidikan khas tersebut.
“Sokongan padu diterima daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) berhubung projek ini, malah memberi galakan supaya kafe itu dibuka di luar sekolah bagi memberikan lebih pendedahan kepada pelajar PPKI.
“Kita juga sedang merancang supaya pelajar-pelajar yang terlibat dalam kafe ini mendapat Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 3 dalam pembuatan roti hasil usaha sama dengan Kolej Komuniti,” katanya.
Dalam perkembangan berlainan, Noraini yang berasal dari Bandar Baru Uda, Johor Bahru itu menjelaskan bahawa program PPKI di sekolah itu turut mendedahkan pelajar lain terhadap pembuatan batik dan pertanian.
“Secara keseluruhannya, sekolah ini mempunyai 98 pelajar yang dibahagikan kepada 11 buah kelas dengan bimbingan daripada 17 orang guru.
“Setiap pelajar telah dibahagikan kepada minat dan kemahiran masing-masing bagi membolehkan mereka menjadi antara generasi berdaya saing dalam dunia yang serba mencabar ini,” jelasnya.
Seramai 12 orang Murid Berkeperluan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9, Shah Alam, Selangor seronok mengendalikan Kafe Niner’s Bakery di sekolah tersebut yang membuat dan menjual hidangan seperti piza dan spageti.











