KOTA BHARU 10 Sept. – Muktamar Tahunan Pas Ke-64 hujung minggu ini, dilaporkan bakal menjadi pencorak hala tuju parti berteraskan Islam itu dalam membentuk hubungan kerjasama dengan parti pembangkang termasuk UMNO yang menjadi seteru politik Pas selama ini.

Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff berkata, dalam mencatur strategi politik dalam hubungan kerjasama itu, sudah tentu tumpuan ramai terhadap ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang ketika merasmikan muktamar tersebut pada Sabtu ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi antara pemimpin parti pembangkang yang telah mengesahkan untuk hadir dan secara ‘berdepan’ berpeluang mengikuti ucapan Abdul Hadi.
“Ucapan Presiden Pas sudah tentu akan menyentuh soal kerjasama dengan parti-parti daripada blok pembangkang dan sudah tentu lunak didengar jika beliau mahu mengeratkan lagi kerjasama yang sudah terjalin setakat ini,” kata Kamarul Zaman, pensyarah Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia kepada Bernama.
Muktamar tersebut yang bakal berlangsung di Terengganu pada 15 dan 16 September ini bakal menghimpunkan lebih 1,200 perwakilan dari seluruh negara.

Sebelum itu, Muktamar Dewan Ulama Pas akan diadakan pada 13 September manakala Muktamar Dewan Pemuda Pas dan Muktamar Dewan Muslimat Pas serta Konvensyen Dewan Himpunan Penyokong Pas pada 14 September.
Dalam pada itu, Kamarul Zaman menjangkakan muktamar itu akan menjadi gelanggang ‘panas’ dengan suara-suara perwakilan yang mungkin tidak bersetuju ataupun mereka mahu lebih ketegasan dalam menentukan hala tuju hubungan kerjasama tersebut agar ia tidak menggadai prinsip perjuangan Pas.
Beliau percaya akan ada usul daripada perwakilan yang mahu menentukan bentuk kerjasama yang lebih jelas antara Pas dan UMNO pada masa depan khususnya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengulas mengenai muktamar tersebut, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Mohd. Asri Mat Daud berkata, selain isu kerjasama tersebut, muktamar pertama selepas PRU-14 itu akan menggariskan beberapa perkara penting yang akan menjadi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada pemimpin Pas untuk menghadapi PRU-15.
“Pas mesti menerajui ekonomi Islam dan bagaimana ekonomi cara Islam itu akan dibangunkan, bagaimana untuk membina negara sejahtera selain menangani isu-isu sosial masyarakat,” katanya yang berharap perwakilan akan dapat mencari resolusi terbaik dalam perkara tersebut untuk kesejahteraan rakyat.– BERNAMA










