Mukhriz yakin sokongan tidak berbelah bahagi Anwar - Utusan Malaysia

Mukhriz yakin sokongan tidak berbelah bahagi Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 3 Sept. – Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mendakwa terdapat kesepakatan dalam Pakatan Harapan (PH) di negeri ini bagi memberi sokongan kepada beliau untuk terus menerajui kerajaan negeri.

Malah beliau berkata, sokongan turut diterima daripada kepimpinan PH Pusat selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar pada Mei lalu.

Menurutnya, sokongan tersebut sekali gus menafikan desas-desus yang timbul sebelum ini mengenai kedudukannya sebagai Menteri Besar akan diganti dan beliau akan memegang jawatan peringkat Pusat.

“Ada kesepakatan buat masa ini, di mana kepimpinan saya diperlukan dan sokongan itu tidak datang hanya daripada Perdana Menteri (Tun Mahathir Mohamad) serta Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail) dan diulangi (sokongan) oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

“Saya rasa sokongan beliau (Anwar) tidak berbelah bahagi jadi saya nampak tidak langsung timbul isu penggantian jadi walaupun sebelum ini ada desas-desus yang mungkin saya akan dilantik ke Kerajaan Persekutuan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Anwar yang akan memberi sokongan sepenuhnya kepada Mukhriz untuk memimpin negeri ini termasuk mengukuhkan PH Kedah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×