KUALA LUMPUR 18 Sept. – Peguam terkemuka, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah menjelaskan baki wang jaminan RM500,000 di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sebentar tadi selepas didakwa Khamis lalu atas empat tuduhan berkaitan pengubahan wang haram.
Bayaran itu susulan perintah Mahkamah Sesyen di sini pada 13 September lalu yang membenarkan permohonan peguam Harvinder Singh yang mewakili Muhammad Shafee agar wang jaminan sebanyak RM500,000 dibayar pada tarikh tersebut dan bakinya diselesaikan pada hari ini.
Muhammad Shafee tidak hadir ke mahkamah hari ini dan proses pembayaran wang ikat jamin itu telah disempurnakan oleh anak sulung lelakinya, Muhammad Farhan, 29, kira-kira pukul 1.30 tengah hari di kaunter bayaran jamin.
Sebelum itu, Muhammad Farhan bersama dua penjamin kepada Muhammad Shafee tiba di kompleks mahkamah kira-kira pukul 11.50 pagi.
Bagaimanapun para pengamal media gagal mendapatkan sebarang komen daripada Muhammad Farhan kerana dia kelihatan bergegas meninggalkan kaunter jaminan di aras bawah kompleks mahkamah tersebut.
Pada Khamis lalu, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima hasil aktiviti haram melibatkan wang berjumlah RM9.5 juta melalui dua keping cek milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dua pertuduhan membuat suatu penyata tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi Tahun Kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014 dengan meninggalkan pendapatan RM9.5 juta. – UTUSAN ONLINE










