AMPANG 24 Sept.- Hampir 200 penduduk di Taman Ukay Bistari di sini membantah tindakan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) untuk meroboh halangan yang dibina bagi menyekat kenderaan berat memasuki kawasan perumahan berkenaan.
Pengerusi Persatuan Penduduk, Ghazali Mohamad berkata, tindakan merobohkan tembok yang dibina oleh penduduk itu akan menyebabkan laluan berkenaan diguna semula oleh jentera berat sekaligus menyebabkan kesesakan lalu lintas dan membahayakan kanak-kanak.
“Tembok itu dibina untuk menghalang lori daripada melalui kawasan perumahan ini kerana jalan sedia ada agak sempit dan sudah sesak dengan kenderaan penduduk,” katanya kepada pemberita.
Perhimpunan penduduk hari ini turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri DUN Hulu Klang, Saari Sungip. – UTUSAN ONLINE










