ANUGERAH Pemain Terbaik Dunia FIFA 2018 yang didominasi selama 10 tahun oleh kapten Portugal, Cristiano Ronaldo dan bintang Argentina, Lionel Messi akhirnya terlerai.
Perancang Real Madrid dan Croatia, Luka Modric menamatkan monopoli anugerah dua pemain itu apabila dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Dunia FIFA 2018 pada majlis yang berlangsung di London semalam.
“Messi dan Ronaldo boleh dianggap sebagai pemain dari planet lain kerana sentiasa menjaringkan banyak gol tetapi pemain lain juga harus diberi pengiktirafan sekiranya mereka mengharungi musim yang baik,” ujar Modric.
Pemain berusia 33 tahun itu menjadi tenaga penting membantu Real Madrid merangkul kejuaraan hatrik Liga Juara-Juara dan memimpin Croatia beraksi di pentas final Piala Dunia 2018 di Rusia Julai lalu, namun tewas 2-4 kepada Perancis.











