Milik siapa juara sulung Big Stage - Utusan Malaysia

Milik siapa juara sulung Big Stage

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Biarpun memberi persembahan yang terbaik pada minggu ini, penyanyi Ariff Bahran tidak berjaya melangkah ke konsert final Big Stage selepas tersingkir di minggu separuh akhir.

Mendendangkan lagu Gerhana dan Mama Papa Larang duet bersama Aepul Roza, nasib tidak menyebelahi Ariff apabila markah undian TikTok yang rendah membuatkan dirinya tersingkir pada konsert minggu separuh akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam, Selangor (MBSA) pada malam Ahad lalu.

“Saya sudah memberikan persembahan sehabis baik, berbeza daripada minggu sebelumnya. Saya berpuas hati dengan nyanyian dan juri juga memberi komen positif.

“Sebab itu saya tidak jangka akan terkeluar, tetapi tidak dapat dinafikan peserta lain juga memberikan persembahan yang sangat bagus. Tipulah jika saya kata tidak kecewa kerana tersingkir tetapi sudah rezeki sampai di sini sahaja,” kata Ariff.

Tambah Ariff, 20, dia amat berterima kasih kepada pihak juri yang sentiasa memberikan komen untuk memperbaiki persembahannya saban minggu. Dia juga mendedahkan Faizal Tahir merupakan juri kegemarannya meskipun sering menerima kritikan pedas daripada lelaki itu.

“Saya berusaha untuk mengikut semua nasihat Faizal dan akhirnya saya berpuas hati dengan persembahan di minggu separuh akhir ini. Selain itu, penyanyi terkenal Indonesia, Tulus yang hadir sebagai juri jemputan juga memberikan pujian dan ia membuatkan saya terharu. Tidak mengapa, saya reda dengan keputusan ini kerana tersingkir secara bermaruah,” ujar Ariff.

Akur

Dalam pada itu, juri tetap Faizal Tahir juga mengakui terkejut dengan keputusan penyingkiran pada minggu separuh akhir. Hal ini kerana Ariff mendapat undian kedua terendah iaitu sebanyak 84.08 peratus daripada juri, namun tersingkir kerana undian peminat yang rendah.

Sebagai juri Faizal terpaksa akur dengan pemilihan peminat kerana pada akhirnya Big Stage adalah sebuah pertandingan realiti.

“Sebagai juri saya telah memberi markah tertinggi buat Ariff pada minggu ini kerana persembahan yang baik. Saya telah cuba untuk membantunya dengan pemberian markah, tetapi keputusan akhir terletak di tangan peminat.

“Secara keseluruhan selain Ariff kesemua peserta memberi persembahan yang baik kecuali Baby Shima. Dia melakukan beberapa kesilapan berulang kali, tetapi pada minggu-minggu sebelumnya Baby Shima antara peserta yang konsisten. Mungkin sebab itu peminat memilihnya berbanding Ariff,” kongsi Faizal Tahir.

Pada minggu separuh akhir Big Stage persembahan dinilai oleh tiga juri profesional iaitu Faizal Tahir, Datuk Seri Siti Nurhaliza dan juri jemputan penyanyi Indonesia, Tulus. Penyingkiran Ariff membolehkan lima peserta lain iaitu Baby Shima, Wani Kayrie, Sarah Suhairi, Syafiq Farhain dan Afieq Syazwan mara ke peringkat final yang akan berlangsung pada 23 September depan di MBSA.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN