SEANDAINYA Allahyarham Farid Jamaluddin masih hidup pasti beliau insan paling gembira. Gembira apabila melihat Pas dan UMNO berada atas satu pentas ketika berlangsungnya Muktamar Tahunan Pas Pusat Kali Ke-64 di Terengganu baru-baru ini.
Gembira apabila melihat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berjabat tangan atas nama ukhwah dan demi survival orang Melayu dan orang Islam negara ini.
Penulis sendiri akui, situasi itu amat indah dan amat bermakna buat orang Melayu dan umat Islam negara ini. Masakan tidak dua presiden parti terbesar orang Melayu berada atas pentas yang sama. Lebih bersejarah lagi, Ahmad Zahid telah dijemput sebagai tetamu dalam muktamar tersebut.
Pasti ramai yang akan bertanya siapakah Farid ini? Farid ialah seorang wartawan senior yang pernah bertugas di Bernama dan The Star. Beat beliau adalah bahagian politik. Oleh itu tidak hairanlah beliau amat dikenali sebagai wartawan politik yang cukup hebat terutama yang melibatkan isu-isu berkaitan Pas.
Beliau juga dikatakan mempunyai hubungan yang amat baik dengan Presiden Pas ketika itu, Allahyarham Datuk Fadzil Noor. Kebetulan pula penulis sering membuat liputan tentang Pas dan dari situlah detik perkenalan kami.
Antara sifat Farid yang sehingga kini penulis tidak pernah lupa ialah sifatnya yang tidak lokek dengan ilmu. Sebab itu apabila kami bertemu beliau sering memberi tunjuk ajar kepada penulis yang ketika itu masih hijau dalam bidang kewartawanan.
Segala ilmu yang ada, beliau sedia berkongsi dengan sesiapa. Seperkara lagi topik kegemarannya setiap kali kami bertemu ialah tentang perpaduan Melayu. Bagi beliau perpaduan Melayu tidak ada kompromi. Atas asas itu beliau mahu parti-parti orang Melayu sama ada UMNO, Pas dan Keadilan (PKR ketika itu) bermuzakarah dan duduk semeja atas nama perpaduan Melayu.
Bagi penulis, wartawan seperti Farid adalah seorang pejuang yang tidak didendang. Beliau adalah insan-insan kerdil yang mahu melihat orang Melayu di negara ini bersatu. Beliau adalah contoh seorang wartawan yang tidak jemu-jemu menyeru kita untuk terus bersatu.
Perjuangannya sungguh hebat. Beliau sedikitpun tidak pernah mengalah. Tidak pernah berundur walaupun terpaksa bertarung dengan penyakit barah paru-paru di saat-saat akhir hayatnya. Malah ketika beliau terlantar di hospital beliau tetap berusaha dengan menjadikan mata pena sebagai wadah menyatukan orang Melayu.
Penulis masih ingat lagi, bagaimana Utusan Malaysia melalui ruang Forum bertarikh 4 Februari 2004 telah menyiarkan isi hatinya yang boleh disifatkan sebagai permintaan terakhir daripada insan bernama Farid Jamaluddin.
Luahan hatinya itu boleh dianggap sebagai satu warkah terbuka. Dalam warkah tersebut, Farid mahu kesemua parti orang Melayu terutama UMNO, Pas dan Keadilan yang selama ini berpecah dan bercanggah pendapat dapat duduk semeja berbincang tentang survival orang Melayu negara ini.
Bagi beliau, usaha itu amat penting memandangkan kedudukan orang Melayu ketika itu dilihat terancam disebabkan perkembangan politik semasa dan keadaan dunia secara keseluruhan. Dalam warkahnya itu juga, Farid menceritakan bagaimana ahli keluarganya berpecah disebabkan ideologi politik.
Penulis yakin kebimbangan yang lahir daripada lubuk hati Farid bukan dibuat-dibuat sebaliknya datang daripada perasaan yang begitu ikhlas, semata-mata mahu melihat orang Melayu tidak menjadi hamba di negara sendiri.
Mungkin orang lain menganggap perkara yang diperjuangkan oleh Farid remeh tetapi hakikatnya ini adalah usaha yang amat besar. Sehubungan itu, perjuangan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Farid ini perlu diteruskan terutama kita sebagai wartawan.
Jangan anggap tugas wartawan sekadar melaporkan apa yang berlaku sebaliknya lebih daripada itu. Kita sebenarnya adalah pejuang yang mempunyai tanggungjawab memastikan perpaduan rakyat negara ini khususnya dalam kalangan orang Melayu sentiasa utuh.
Pada masa sama golongan wartawan juga seharusnya menjadi benteng dan perisai dalam konteks mempertahankan Perlembagaan Persekutuan daripada dicemari oleh pihak-pihak yang bercita-cita mahu menjejaskan keamanan negara ini.
Untuk makluman, Allahyarham Farid menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 4 Oktober 2004 kira-kira lapan bulan selepas warkah terbuka beliau disiarkan di ruangan Forum Utusan Malaysia. Pada masa itu beliau berusia 49 tahun. Semoga roh Allahyarham di tempatkan bersama golongan beriman. Al-Fatihah.










