Pernahkah kita terlalu terkenang kegembiraan atau kesedihan masa lampau ataupun kita terlalu obses dengan bayangan kehidupan bahagia atau merisaukan pada waktu akan datang sehinggakan kita berasa kehidupan saat ini begitu tidak bermakna?
![]() |
|
|
Lalu ikatan minda kita terhadap masa lalu atau akan datang membuatkan kita sentiasa hidup dalam awang-awangan dan seterusnya membiarkan masa sekarang kita berlalu begitu sahaja tanpa berusaha mewujudkan memori kehidupan bermakna.
Buku The Power of Now tulisan Eckhart Tolle mengajak kita untuk melihat saat ini, masa sekarang sebagai kehidupan sebenar kita yang perlu kita hidupkan. Masa lepas atau akan datang dikatakan sebagai ilusi kerana ia hanya wujud dalam minda kita dan kita tidak mampu untuk bertindak mengubahnya.
Tentunya masa lepas masih boleh dikenang sebagai panduan dan masa akan datang boleh diimpikan sebagai motivasi tetapi tidak sehingga kita membiarkan waktu sekarang berlalu begitu sahaja.
Saat menunggu umpamanya ketika dalam barisan, kesesakan jalan raya ataupun temu janji dirasakan begitu membosankan. Namun Eckhart Tolle mencadangkan bahawa situasi sedemikian merupakan tempoh berharga untuk kita memerhati apa yang muncul pada kotak fikiran kita dan perasaan kita. Hal ini membolehkan kita lebih tenang serta peka dengan keadaan sekeliling.
Buku ini juga mengupas aspek menyerah diri yakni bagaimana kita dapat menjadi reda dengan keadaan kita pada waktu ini. Dengan tidak menyangkal keadaan sekarang, kita dapat meningkatkan kualiti kesedaran minda dan seterusnya kualiti tindakan kita.
Walau bagaimanapun, penulis menyarankan bahawa pembaca perlu mempunyai pemahaman akidah Islam yang jelas dan kukuh dalam menyoroti buku seperti ini yang menyelitkan dogma kerohanian daripada ajaran agama lain agar ajaran Islam tetap menjadi panduan utama kita walau apapun petikan daripada ajaran agama lain.
Hal ini juga perlu supaya pembaca dapat bersifat kritis berkenaan sebarang unjuran kerohanian yang mungkin bercanggah dengan ajaran Islam. Selain itu, pembaca juga dapat bersifat terbuka terhadap mana-mana idea yang bersifat universal dengan mengaitkannya mengikut ajaran Islam seterusnya meningkatkan keimanan kita.
Kesimpulannya, buku The Power of Now merupakan sebuah buku psikologi menarik yang berpotensi membantu kita menghargai setiap detik kehidupan kita, mengubati tabiat menangguh (procrastination) dan mengajak kita melihat diri sendiri tanpa kaitan materialistik yang ada pada diri sendiri.
Golongan pembaca yang disarankan ialah golongan dewasa serta memiliki asas ilmu berbanding.











