KUALA LUMPUR 15 Sept. – Empat bekas pelajar Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) bakal menjadi penerima anugerah ‘Hall of Fame’ pada majlis pertemuan semula fakulti tersebut pada 27 Oktober depan.

Menurut Pemangku Presiden Alumni Masscomm UiTM, Basree Rakijan, majlis pertemuan bekas pelajar fakulti itu yang sebelum ini dikenali sebagai Kajian Sebaran Am (KSA) Institut Teknologi MARA (ITM) akan turut meraikan sidang pertama Masscomm pada tahun 1972, dana akan dianjurkan di Dewan Seri Hatinie, Seksyen 15, Shah Alam.
Kempat-empat bekas pelajar itu dipilih daripada bidang pengkhususan asas yang diperkenalkan ketika itu iaitu Kewartawanan, Penyiaran, Perhubungan Awam dan Periklanan.
“Penganjuran majlis ini bertujuan merapatkan kembali silaturahim dalam kalangan bekas pelajar yang sekian lama terpisah selepas meneruskan kerjaya masing-masing.
“Majlis alumni ini bertujuan mengumpul seramai mungkin bekas pelajar Masscomm bagi membantu mereka membina rangkaian penting dalam memudahkan urusan kerja,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Basree berkata, bekas pensyarah dan pensyarah KSA serta FKPM juga dijemput hadir sebagai menghargai jasa mereka dalam menyampaikan ilmu kepada pelajar sehingga berjaya bergelar graduan.
“Suka-duka belajar di tingkat 13 atau lebih dikenali Level 13, Bangunan Menara sudah pasti menyimpan banyak nostalgia. Jadi, jangan lepaskan peluang untuk bersama nanti,” katanya.

Sambil mengajak bekas pelajar mencari ruang untuk berbakti semula kepada pusat pengajian, beliau berkata, pihak alumni sedang merangka beberapa program bagi manfaat bersama.
Bekas pelajar yang berminat hadir boleh menghubungi Setiausaha Alumni Masscomm, Haniff Ghazali di talian 012-2167577 atau Penolong Setiausaha, Ziela Makrof, 019-3830338. – UTUSAN ONLINE











