Menara PNB118 alternatif pada KLCC - Utusan Malaysia

Menara PNB118 alternatif pada KLCC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 24 Sept. – Pembangunan Menara PNB 118 di kawasan Stadium Merdeka seluas 5.6 hektar akan menawarkan lokasi alternatif kepada Kuala Lumpur City Centre (KLCC) yang semakin padat.

Ketua Pegawai Eksekutif PNB Merdeka Ventures Sdn. Bhd., Tengku Datuk Ab. Aziz Tengku Mahmud berkata, lokasi Menara PNB 118 di kawasan strategik menjadikannya sesuai sebagai pejabat perniagaan.

Katanya, syarikat yang mahu membuka pejabat di kawasan baharu perlu pergi ke Menara PNB 118 kerana keseluruhan projek mempunyai tarikan tersendiri.

“Hanya terdapat 83 tingkat ruang pejabat dan PNB akan mengambil separuh daripada itu dalam usaha mengurangkan kebimbangan mengenai lebihan bekalan ruang pejabat.

“Pemaju hotel, Hyatt Hotels Corporation turut akan mengambil kira-kira 17 tingkat di atas untuk dijadikan hotel premium di bawah jenama Park Hyatt,” katanya dalam sesi panel sempena Persidangan Tahunan Pemaju Hartanah di sini hari ini.

PNB Merdeka Ventures ditubuhkan pada Jun 2000 dan me­ru­pakan pemilik tanah Merdeka 118, yang turut merangkumi Stadium Merdeka dan Stadium Negara.

Ujar Ab. Aziz, purata luas lantai kira-kira 1,858 meter persegi dengan kemungkinan dibahagikan kepada empat suku atau quadrants.

“Sebuah syarikat besar boleh mengambil beberapa tingkat manakala syarikat lebih kecil boleh mengambil sehingga satu perempat daripada keluasan lantai,” katanya.

Beliau walau bagaimanapun tidak memberitahu jumlah bayaran sewa bagi setiap meter persegi. Menara berkenaan dijadualkan siap pada 2021.

Menara PNB 118 bakal memberi nafas baharu kepada wajah bandar raya Kuala Lumpur sebagai menara pencakar langit yang tertinggi di Asia Tenggara dan ketiga tertinggi di dunia apabila siap kelak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN