KUALA LUMPUR 25 Sept. – Orang ramai berpeluang melakukan terjunan setinggi 7.3 meter melalui acara ‘bag jump’ di Menara Kuala Lumpur (KL) sempena penganjuran KL Tower International Jump Malaysia 2018 yang bermula Jumaat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd., Datuk Rozlan Mohamed berkata, ia merupakan pembaharuan yang ditawarkan pihaknya bagi menghargai para pengunjung yang meminati sukan lasak itu namun tidak mempunyai kelayakan untuk menyertainya.
Menurut beliau, walaupun platform terjunan yang disediakan khas di ruang letak kereta menara itu tidaklah setinggi ketinggian sebenar, namun, ia sudah memadai untuk memberikan perasaan teruja kepada orang ramai.
“Usaha ini adalah hasil kerjasama dengan Yayasan Patriot Negara. Untuk menyertai pertandingan sebenar seseorang itu perlu mempunyai kelayakan tertentu sebelum dibenarkan terjun daripada ketinggian 312 meter.
“Melalui acara bag jump ini semua orang berpeluang untuk mencuba dengan dikenakan bayaran sebanyak RM20 untuk tiga kali terjunan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Menara KL di sini hari ini.
Seramai 140 penerjun dari seluruh pelosok dunia telah mengesahkan tempat untuk menyertai KL Tower International Jump Malaysia 2018 yang berlangsung sehingga 1 Oktober ini. – UTUSAN ONLINE











