Memahami kesan 
negatif ‘lesen terbang’ - Utusan Malaysia

Memahami kesan 
negatif ‘lesen terbang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APABILA kerajaan meminta dan memberi tempoh agar ‘lesen terbang’ diserahkan kepada pihak berwajib, ini menunjukkan betapa seriusnya masalah lesen terbang di negara ini membabitkan warga tempatan dan warga asing.

Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat 14,000 lesen terbang dan pemiliknya diminta menyerahkan lesen tersebut sebelum dikenakan tindakan. JPJ berjanji tidak akan mengenakan sebarang tindakan jika lesen tersebut diserahkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Lesen terbang ini dipercayai wujud hasil daripada pemalsuan maklumat menerusi Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara yang dijalankan oleh satu sindiket untuk memudahkan orang ramai yang inginkan lesen memandu dengan cara mudah.

Dengan adanya kemudahan lesen terbang bermakna seseorang pemilik kenderaan tidak perlu melalui proses-proses biasa yang dilalui oleh pengguna jalan raya lain untuk mendapatkan lesen memandu. Asal ada duit, dapatlah lesen.

Kesan negatifnya, pemilik lesen terbang mudah ­melakukan pelbagai kesalahan memandangkan mereka tidak memahami dengan jelas peraturan jalan raya.

Mereka juga tidak risau akan penggantungan lesen ke­rana lesen boleh dibeli dengan mudah. Selain itu, mereka juga membahayakan pengguna jalan raya lain kerana risiko mereka melakukan kesalahan di jalan raya sangat tinggi berbanding pengguna jalan raya yang memiliki lesen sah.

Oleh itu, kerjasama pengguna jalan raya yang memiliki lesen terbang amat diperlukan untuk tampil menye­rahkan lesen tersebut kepada pihak berwajib. Ini adalah tanggungjawab individu demi negara dan ke­selamatan diri serta pihak-pihak lain.

Apabila mereka tampil dan me­ngaku kesalahan yang dilakukan, pelbagai elemen berkaitan lesen terbang boleh dinilai untuk me­ngenal pasti punca sebenar kegiatan ini selain daripada tujuan utama sindiket yang mahu mengaut keuntungan dengan cara mudah. Difahamkan sindiket ini menawarkan RM2,000 hingga RM3,000 bagi setiap lesen.

Lesen terbang bukanlah isu baharu. Selain pemalsuan maklumat menerusi Prosedur Penukaran Lesen Memandu Luar Negara, terdapat juga sindiket yang menawarkan lesen memandu tempatan yang tidak sah iaitu tidak perlu menjalani ujian memandu JPJ.

Pada tahun lepas, satu sindiket ditumpaskan kerana menawarkan lesen memandu ekspres serendah RM500 kepada individu yang menghendaki lesen dengan cara mudah. Sindiket tersebut dengan beraninya mempromosi menerusi khidmat Facebook kepada orang ramai.

Usaha untuk mengekang gejala lesen terbang bukanlah mudah sekiranya tiada kerjasama dan kesedaran orang ramai. Semua pihak mestilah memahami bahaya lesen terbang kerana jika berlaku apa-apa kecelakaan di jalan raya, padahnya terpaksa ditanggung termasuk tindakan undang-undang.

Paling penting, lesen terbang menyumbang kepada ketirisan ekonomi negara sebaliknya menguntungkan pihak yang tidak bertanggungjawab yang mencari keuntungan dengan cara menyalahi undang-undang. Pendapatan institut-institut yang mengendalikan kursus pemanduan juga akan terjejas ekoran kewujudan lesen terbang.

Menyokong sindiket lesen terbang boleh menyebabkan sindiket ini terus berleluasa. Oleh itu, orang ramai dinasihati agar berwaspada dengan sindiket ini dan tidak membantu meluaskannya. Paling utama, orang ramai mesti mengikut prosedur yang ditetapkan dalam apa hal sekalipun, apatah lagi dalam soal-soal yang melibatkan keselamatan diri dan pihak lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN