ANDAI anda tidak kisah untuk mengeluarkan modal setiap hari membayar iklan di Facebook, Twitter, Instagram mahupun LinkedIn, baguslah. Bagi mereka, lebih banyak wang dan lebih besar bajet yang disediakan, lebih baik. Tetapi tidak semua usahawan berduit seperti anda.
Tahukah anda ada cara lain yang boleh anda gunakan tanpa mengeluarkan sesen pun kepada platform itu semua tetapi masih lagi mampu mencapai jumlah reach dan engagement yang tinggi untuk setiap status yang dimuatnaik di media sosial?
* Bina satu kumpulan rahsia di rangkaian media sosial di mana anda berada.
Dengan mempunyai satu kumpulan rahsia ini, katakanlah yang mempunyai seramai 50 orang ahli, ia akan membantu anda menyebarkan status yang anda muat naik itu kepada lebih ramai orang. Bagaimana?
Di Facebook anda, jumlah pengikut anda yang ada sekarang ialah seramai 3,000 orang kesemuanya. Tidak begitu ramai, tetapi tidak mengapa. Kalau kita lihat setiap ahli yang berada di dalam kumpulan ini, kesemuanya katakan mempunyai pengikut di Facebook masing-masing seramai lebih kurang 3,000 orang juga. Dengan gabungan ahli seramai 50 orang dalam kumpulan ini, kumpulan anda kini mempunyai pengikut seramai 150,000 orang kesemuanya. Betul?
Bayangkan ini pula. Katakan anda memuat naik satu status di Facebook, berkisar tentang promosi bedak sejuk yang anda jual. Sebaik sahaja anda muat naik, 3,000 pengikut anda akan nampak status ini. Kemudian 49 ahli kumpulan anda akan mulakan langkah mereka membantu anda dengan mendermakan Like mereka, memberikan komen ataupun kongsikan status anda tadi di Facebook mereka. Ini bermakna, reach untuk status anda tadi akan meningkat dengan lebih tinggi lagi.
Melalui engagement yang dilakukan oleh 49 ahli kumpulan anda tadi bersama-sama dengan usaha anda, sekurang-kurangnya 150,000 orang akan melihat status Facebook anda. Ini satu jumlah yang besar. Kemudian bayangkan pula 5 peratus dari 150,000 orang tadi turut sama mendermakan Like mereka di status anda. Reach akan meningkat naik lagi, dengan jauh lebih besar lagi.
Apabila mereka telah membantu anda kini giliran anda pula membantu ahli-ahli yang lain. Bermuafakat sebegini pasti akan membawa berkat. Hasilnya, kesemua 50 ahli kumpulan anda tidak perlu lagi membayar Facebook untuk sebarang iklan.
* Bagaimana nak mulakan kumpulan ini?
Mudah sahaja. Pertama sekali anda perlu siapkan ‘cerita’ anda tentang kepentingan kumpulan rahsia ini, dan mengapa anda perlu wujudkannya. Apabila cerita anda siap, kongsikan idea ini dengan beberapa usahawan lain dan dapatkan pendapat mereka. Berkemungkinan besar wawasan anda ini akan diterima terus, menerima beberapa cadangan untuk menambahbaikkan agar lebih mantap dan juga penolakan. Ini perkara biasa.
Sekiranya ada diantara mereka yang ‘nampak’ ke mana arah tujuan strategi ini, jemput mereka untuk bersama anda dalam perjalanan ini. Anda perlu memastikan yang mereka betul-betul setuju agar tidak berhenti di separuh jalan.
Dalam kalangan ahli kumpulan anda ini, kalau boleh jangan ada yang menjadi pesaing anda. Kecoh nanti. Sebaiknya, pastikan masing-masing mempunyai perniagaan yang berbeza daripada anda dan di antara satu sama lain.
Apabila kumpulan kecil ini bergerak lancar, besarkan jemputan anda kepada seberapa ramai yang boleh. Ini kerana setiap ahli boleh berkongsi para pengikut dan ini akan membantu memperlihatkan status masing-masing kepada jumlah pengikut yang lebih besar lagi. Cuma perlu diingat, tidak mudah untuk mengendalikan kumpulan yang mempunyai ahli yang ramai. Ada juga yang akan besar kepala nanti kerana mungkin jumlah pengikutnya jauh lebih ramai dari yang lain. Jadi, peraturan ketat sangat penting dan ia perlu dipatuhi oleh setiap ahli.
Jangan lari daripada objektif asal kumpulan anda. Biasanya apabila kumpulan menjadi besar dan aktif, pelbagai benda akan dirancang. Apa jua perancangan yang ada, yang paling penting sekali ialah masing-masing perlu membantu di antara satu sama lain di media sosial dalam menyebarkan setiap status yang dimuat naik di media sosial. Ini kerana di sini adalah periuk nasi anda.










