KUALA LUMPUR 3 Sept. – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) komited untuk menjalankan ‘perbicaraan rakyat’ atau ‘mock trial’ dengan kerjasama masyarakat guaman Malaysia bagi membicarakan kes melibatkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang bebas daripada tuduhan rasuah.
![]() |
|
JAIS ABDUL KARIM
|
Presiden MCW, Jais Abdul Karim berkata, usaha itu mahu dibuat atas kesedaran untuk membanteras rasuah meskipun keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini melepaskan dan membebaskan Guan Eng daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian satu lot banglo selepas pihak pendakwaan menarik balik kes berkenaan.
Katanya, usaha itu mahu dibuat sekiranya pihak Jabatan Peguam Negara terus mendiamkan diri atau gagal memberi jawapan yang munasabah berhubung kes tersebut.
“Siasatan teliti telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selama hampir dua tahun seolah-olah disia-siakan. Ini sekali gus mencemarkan imej SPRM serta kredibiliti Jabatan Peguam Negara.
“MCW rasa amat bertanggungjawab untuk mempertahankan SPRM yang komited dalam menjalankan tugasan menyiasat kes Guan Eng ini. Kredibiliti dan komitmen yang diberikan oleh para pegawai SPRM mesti diperjuangkan oleh masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE











