MCA jangan ambil kesempatan salahkan UMNO sahaja - Utusan Malaysia

MCA jangan ambil kesempatan salahkan UMNO sahaja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PULAU PINANG 24 Sept. – Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan untuk menyalahkan UMNO sahaja selaku parti komponen paling besar dalam Barisan Nasional (BN) ekoran kekalahan parti gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, Tiong Lai sepatutnya perlu lebih berfikiran rasional dan tidak mudah ‘melatah’ dalam isu penggabungan antara UMNO dan Pas seperti yang pernah dibincangkan sebelum ini.

 “Jadi, tak payahla guna perkataan macam nak ugut-ugut keluar daripada parti (BN) dan sebagainya sebab perkara-perkara ini.

 “Beliau (Tiong Lai) pun kena ingat bahawa beliau sendiri kalah pada PRU lalu dan tak mendapat sokongan rakyat,” katanya kepada Utusan Malaysia hari ini.

Tiong Lai pada Persidangan Tahunan MCA Pahang mengulangi pendirian parti itu yang tidak bersetuju sekiranya UMNO dan Pas bergabung kerana ia melanggar semangat serta konsep kesederhanaan dalam BN.

Kata pemimpin tersebut, jika keadaan itu berlaku, MCA boleh menyingkirkan UMNO keluar daripada BN kerana menganggap penggabungan dengan Pas sebagai bersifat perkauman dan keagamaan.

Dalam pada itu, Musa memberitahu, BN merupakan sebuah parti yang sentiasa bertolak-ansur dalam segala hal.

“Masing-masing (parti komponen dalam BN) kena bertanggungjawablah. Menang bersama, susah (kalah) bersama. Jangan masa susah macam ni nak main ugut-ugut pula,” ujar beliau. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN