KUANTAN 2 Sept. – Mercedes-Benz Malaysia Sdn. Bhd. (MBM) bekerjasama dengan Asbenz Stern Sdn. Bhd. (Asbenz Stern) bagi membuka ruang pameran ‘Autohaus’ di daerah ini iaitu Mercedes-Benz Asbenz Stern Kuantan Autohaus dalam usaha mengembangkan lagi operasi syarikat itu terutama di wilayah Pantai Timur.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MBM, Dr. Claus Weidner berkata, selain Autohaus, turut dibuka dengan kerjasama Asbenz Stern ialah sebuah pusat jualan, servis dan alat ganti (3S) di Batu 3 Jalan Gambang di sini.
“Sehingga kini, MBM dan Asbenz Stern sudah melabur kira-kira RM5 juta dalam pembangunan Autohaus dan pusat 3S di daerah ini.
“Mercedes-Benz Asbenz Stern Kuantan Autohaus mencerminkan komitmen kami terhadap pelanggan di daerah ini dan wilayah Pantai Timur,” katanya ketika merasmikan Mercedes-Benz Asbenz Stern Kuantan Autohaus dan pusat 3S Mercedes Asbenz Stern di sini baru-baru ini.
Yang hadir sama Naib Presiden Jualan dan Pemasaran MBM, Mark Raine dan Pengarah Urusan Asbenz Stern, Goh Chuan Kiong.
Weidner berkata, usahasama antara MBM dan Asbenz Stern bermula sejak 2004 dengan pelancaran Autohaus pertama syarikat kereta Jerman itu yang menawarkan perkhidmatan pelanggan dan jualan di Sungai Petani, Kedah.
Beliau berkata, dengan pembukaan Mercedes-Benz Asbenz Stern Kuantan Autohaus, MBM kini mempunyai 34 Autohaus di seluruh negara.
Dalam pada itu, Chuan Kiong berkata, pusat servis dan Autohaus Asbenz Stern yang mempunyai keluasan 4,113 dan 1,176 meter persegi itu dibina dengan konsep Autohaus Mercedes-Benz Presentation System II (MPS II) serta Identiti Korporat (CI) terbaharu.











