Mayat remaja lemas ditemui - Utusan Malaysia

Mayat remaja lemas ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI – Seorang daripada dua remaja yang hilang dipercayai lemas ketika mandi-manda bersama keluarga di Pantai Batu Layar di sini semalam ditemui terdampar di persisiran pantai itu pagi tadi.

Mayat  Muhammad Norhakimi Rejab, 18, ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 5.50 pagi kira-kira 500 meter dari lokasi Pangkalan Hadapan Carilamat.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Malaysia (APMM) Negeri Johor, Kepten Maritim Sanifah Yusof berkata, sejurus mayat mangsa disahkan oleh pihak keluarga pasukan SAR membawa mangsa ke Hospital Kota Tinggi untuk bedah siasat.

“Usaha mencari seorang lagi mangsa, Noor Rahimi Fithri Ismail, 19, yang masih hilang diteruskan pada hari ini yang mana kita mendapati  mangsa  dilaporkan memakai baju berwarna merah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sanifah berkata, empat aset laut daripada beberapa agensi iaitu APMM, Pasukan Polis Marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Angkatan Pertahanan Awam digunakan dalam usaha mencari mangsa yang masih hilang. 

Jelasnya, pasukan SAR memperluaskan kawasan pencarian sehingga enam batu nautika persegi daripada lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Semalam, dua remaja yang juga sepupu itu dilaporkan hilang selepas bermandi-manda bersama keluarga pada pukul 8 pagi di Pantai Batu Layar di sini. – K! ONLINE.
 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN