KUALA LUMPUR 18 Sept. – Mayat seorang lelaki dipercayai warga asing dengan kesan tetakan ditemukan berhampiran sebuah kilang simen di Jalan Bemban, Hulu Kelang, di sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, mayat tersebut ditemukan seorang lelaki kira-kira pukul 2 pagi.
“Mangsa merupakan seorang lelaki dewasa dengan ketinggian kira-kira 1.6 meter, berkulit gelap, berambut pendek, memakai baju T-shirt kolar bulat warna hijau, berseluar pendek merah dan hitam bercorak serta berselipar ungu atau hijau di bawah kaki.
“Kita percaya mangsa merupakan seorang warga asing dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan bersamanya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Menurut Hamzah, pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan tetakan di bahagian muka sebelah kanan hingga ke leher dipercayai menggunakan senjata tajam.
“Setakat ini tiada senjata ditemukan di tempat kejadian dan identiti mangsa masih belum dikenal pasti.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan mayat dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dibedah siasat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










