Mayat gelandangan ditemui terapung  - Utusan Malaysia

Mayat gelandangan ditemui terapung 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN – Mayat lelaki yang dipercayai seorang gelandangan ditemui terapung berhampiran sebuah sangkar ikan di Kampung Kemasek di sini hari ini.

Penduduk kampung yang melalui kawasan berkenaan menemui mayat mangsa kira-kira pukul 10 pagi sebelum melaporkannya kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, lelaki berusia 38 tahun itu dipercayai merupakan seorang penduduk tempatan yang tidak mempunyai keluarga atau pun waris terdekat.

Menurut beliau, sejurus menerima panggilan daripada orang awam, sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mayat mangsa dalam keadaan terapung.

“Penduduk di kawasan tersebut sering melihat mangsa tidur di kaki lima bangunan dan berjalan di sekitar kampung.

“Berdasarkan keadaan mayat yang ditemui, mangsa dianggarkan sudah berada di dalam air lebih 24 jam dan kita percaya lelaki itu terjatuh ketika cuba menyeberangi sebatang titi untuk pergi ke kawasan sangkar ikan tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Jelas Mohd. Said, pemeriksaan lanjut ke atas mayat mangsa juga tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Tambah beliau, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman bagi proses bedah siasat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN