Masalah anjing, peniaga asing - Utusan Malaysia

Masalah anjing, peniaga asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MAJLIS Perbandaran Selayang (MPS) telah melihatkan banyak perubahan positif sejak berlaku perubahan pentadbiran kerajaan negeri pada 2008 khususnya dalam mengembalikan wang cukai rakyat dalam bentuk perkhidmatan dan kemudahan infrastruktur.

Jika pentadbiran MPS lama membina stadium hasil kutipan cukai yang banyak, pentadbiran baharu menurap jalan, membaiki struktur awam dan banyak lagi sekalipun pilihan raya sudah berlalu.

Namun, ada dua isu lagi yang diharap dapat pengurusan MPS tangani segera iaitu masalah anjing liar dan peniaga haram warga asing khususnya sekitar Selayang.

Masalah anjing liar ini susulan penguatkuasaan lesen membela anjing yang lemah sejak hampir 30 tahun lalu menyebabkan ramai individu yang membela haiwan itu melepaskannya begitu sahaja selepas sudah malas membelanya.

Mengambil contoh berhampiran rumah saya di Jalan 9/8 Taman Seri Gombak, berhampiran Surau Jabal Nur begitu banyak anjing liar tidur di tengah jalan khususnya pada waktu malam.

Masalah peniaga haram warga asing pula banyak berlaku sekitar pasar borong Selayang yang menjadi tumpuan pelarian dan pendatang asing tanpa izin (PATI) mengumpul sisa buangan buah, sayur dan bahan basah dibuang peniaga tempatan.

Sisa bahan jualan itu kemudian dibersihkan untuk dijual semula kepada warga asing mahupun tempatan yang sanggup membelinya. Bukan sahaja peniaga haram ini mengancam keselamatan dengan menjual produk rosak malah membahayakan pemandu dengan berniaga secara haram di tepi-tepi jalan sekitar Selayang.

Oleh itu, harap MPS dapat ambil tindakan sewajarnya dengan kadar segera bukan sahaja demi keselamatan pengguna serta keselesaan penduduk yang berdepan masalah anjing liar.

TASYA KIARA

Taman Seri Gombak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN