KUALA LUMPUR 17 Sept. – Industri petrokimia dijangka terus mendapat permintaan tinggi walaupun berdepan dengan kemungkinan perang dagangan yang memuncak antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Permintaan global bagi bahan kimia akan mencecah AS$530 bilion (RM2.2 trilion) menjelang 2022 dengan pertumbuhan tahunan (CAGR) 6.3 peratus sejak 2015 hingga 2022.
Menurut Naib Presiden Kimia Khusus IHS Markit, Tony Potter, Asia (kecuali China) menjangkakan kapasiti bahan kimia akan meningkat daripada 137 juta tan metrik kepada 153 juta tan metrik dalam tempoh lima tahun lagi.
Malah katanya, Asia adalah pembekal marginal bagi etilena dan defisit dalam domestik derivatif etilena di sesetengah negara ASEAN adalah satu peluang pelaburan yang baik.
“Singapura, Malaysia dan Thailand adalah pasaran petrokimia yang matang di rantau ini yang telah membangunkan pasaran domestik yang lebih besar.
“Misalnya Malaysia akan muncul sebagai pengeksport apabila siapnya projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) awal tahun depan,” katanya dalam Persidangan Industri Petrokimia Asia (APIC) 2018 di sini baru-baru ini.
Malaysia akan menambah kapasiti mulai 2019 apabila projek RAPID siap sepenuhnya yang akan meningkatkan pengeluaran daripada 16.3 juta tan metrik setahun ketika ini kepada 23.1 juta tan metrik setahun.
Secara dasarnya, RAPID merupakan satu daripada enam loji petrokimia yang dirancang di Asia Tenggara bagi memenuhi permintaan pada masa hadapan. Eksport petrokimia ke rantau ini sahaja dijangka meningkat 55 peratus kepada 7.5 juta tan metrik setahun menjelang 2020 manakala import pula menyusut 28 peratus.
Syarikat minyak negara, Petronas sendiri akan meningkatkan kapasiti komoditi kepada 3.3 juta tan metrik setahun (mtpa) dan produk petrokimia berbeza dalam pasaran apabila RAPID mula beroperasi.
Dalam sidang akhbar membentangkan prestasi kewangan Petronas baru-baru ini, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, berkata, Petronas akan memperkukuhkan portfolio perniagaan teras dan pada masa sama memberi tumpuan untuk meneroka peluang dalam kimia khusus dan tenaga baharu.
“Usaha ini adalah bagi memastikan kemapanan Petronas dalam menghadapi perubahan dan cabaran dalam industri minyak dan gas,” katanya.
Setakat Julai lalu, Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC) yang merangkumi RAPID dan beberapa fasiliti sokongan lain, telah mencapai kemajuan 93 peratus siap dan ia akan menyaksikan pembinaan sepenuhnya loji penapisan dan cracker pada suku pertama tahun hadapan.
Sementara itu, Presiden Persatuan Petrokimia Malaysia (MPA) Akbar Md. Thayoob berkata, Malaysia berminat untuk menjalin kerjasama dengan syarikat di rantau Asia khususnya Jepun, Korea, Taiwan dan China dalam mengembangkan industri petrokimia ke peringkat yang lebih tinggi.
“Sudah tiba masanya bagi Malaysia untuk menjadi penyedia penyelesaian berkaitan industri petrokimia berbanding hanya menjadi peserta komoditi saja. Sehubungan itu, pihaknya kini bekerjasama dengan rakan kongsi berpotensi untuk memperluaskan industri kimia tempatan dengan menuju ke arah penyediaan penyelesaian,” katanya.
Penglibatan Malaysia dalam industri petrokimia bermula pada awal 1990 dengan pembangunan tiga fasiliti petrokimia di Gebeng, Kertih dan Pasir Gudang. Sejak itu, negara merupakan pemain utama di rantau ini yang mengeluarkan pelbagai produk petrokimia antaranya olefin, aromatik, etilena oksida dan glikol.










