Marceeta pecah rekod Sukma clean & jerk - Utusan Malaysia

Marceeta pecah rekod Sukma clean & jerk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH 16 Sept. – Kegagalan dalam acara snatch tidak mematahkan semangat atlet Sabah, Marceeta Marlyne Marcus, untuk bangkit memecah rekod Sukan Malaysia (Sukma) 2018, Perak dalam clean & jerk bagi kategori 58 kilogram (kg) wanita sekali gus merangkul emas dalam acara itu di Dewan Merdeka, di sini hari ini.

Sebelum itu, Marceeta gagal dalam semua angkatan snatch yang menyaksikan dia berada pada kedudukan terbawah menyebabkan moralnya sedikit menurun.

Walau bagaimanapun, atas dorongan jurulatih serta motivasi yang tinggi dalam dirinya, atlet berusia 20 tahun itu bukan sahaja meraih emas keduanya dalam penyertaannya dalam temasya berkenaan sejak 2012, malah memperbaharui rekod temasya dengan angkatan 97kg namun cubaannya untuk memecah rekod kebangsaan dengan melakukan angkatan 102kg gagal.

Rekod terdahulu, milik atlet Kelantan, Nur Fariesha Irwana Md. Supian yang dilakukan pada Sukma 2014, Perlis dengan angkatan bebanan 96kg manakala rekod kebangsaan adalah 101kg milik Frenceay Titus.

“Perasaan gugup dan terlalu memberi tekanan terhadap diri sendiri menyebabkan saya gagal melakukan sebarang angkatan dalam acara snatch. Sedih memang sedih tapi saya tekad untuk tebus kegagalan itu dalam acara clean & jerk.

“Atas dorongan jurulatih saya berjaya bangkit, bukan sahaja meraih emas tetapi mencipta rekod baharu dalam temasya ini. Lepas ini sasaran saya adalah Sukan Komanwel 2022,” kata atlet pelapis kebangsaan itu yang turut membuat penampilan di Sukan Komanwel di Gold Coast, April lalu.

Pada penampilan di Sukma Sarawak dua tahun lalu, Marceeta berjaya meraih satu emas dan satu perak dalam acara yang sama.

Sementara itu, pingat perak menjadi milik atlet, Sarawak Marthini Chan dengan angkatan 88kg manakala Siti Barirah Azhari dari Kedah melengkapkan kedudukan podium (87kg).

Dalam pada itu, bagi acara snatch , emas menjadi milik atlet berusia 14 tahun, Barirah apabila berjaya melakukan angkatan 74 kg manakala perak diraih Marthini Chan ( 73kg) dan Nurul Anis Abdullah dari Perlis merangkul gangsa Perlis (70kg).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN