Malaysia tewas sebab kad merah - Utusan Malaysia

Malaysia tewas sebab kad merah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HARAPAN skuad bawah 16 tahun (B-16) negara untuk mara ke peringkat suku akhir tipis apabila pengadil perlawanan melayangkan kad merah yang disifatkan tidak ma­suk akal sehingga menyebabkan anak-anak buah Lim Teong Kim tewas 2-4 kepada Thailand pada aksi kedua Kumpulan A Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur semalam.

Tonggak utama negara, Luqman Hakim Shamsudin dilayangkan kad merah oleh pe­ngadil dari Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Omar Mohamed Ahmed Hassan Al-Ali selepas penyerang itu dipersalahkan ketika pergelutan mendapatkan bola dengan pemain pertahanan Thailand, Kittichai Yaidee pada minit ke-50.

“Pengadil perlawanan telah musnahkan permainan kami kali ini kerana jika dilihat semula, sememangnya Luqman tidak patut dilayangkan kad merah.

“Berdasarkan situasi tersebut, kad kuning juga perlu dipertimbangkan kerana dia berada di posisi yang tidak dapat dilihat jelas pihak lawan yang datang dari belakang.

“Keadaan itu memberikan kesukaran kepada kami untuk bermain selepas kehilangan tonggak utama di bahagian serangan,” kata Teong Kim selepas perlawanan tersebut.

Pada aksi itu, Malaysia dikejutkan dengan gol pembukaan oleh Suphanat Muenta pada minit kedua sebelum penyerang tersebut melengkapkan jaringan keduanya pada minit ke-22. Namun, sebelum itu, skuad negara berjaya memperoleh satu gol hasil jaringan Luqman pada minit ke-11.

Bersambung babak kedua, skuad negara kembali bangkit menyamakan kedudukan menerusi sentuhan Muhammad Firdaus Kaironnisam pada minit ke-48 sebelum Luqman dilayangkan kad merah dua minit kemudian.

Tersentak dengan insiden tersebut, Malaysia akhirnya dihukum dengan gol ketiga dan keempat hasil sentuhan Waragon Thongbai dan Apidet Janngam, masing-masing pada minit ke-57 dan 84 untuk melengkapkan kemenangan Thailand di depan 8,596 penyokong.

Malaysia dijadualkan menentang Jepun bagi aksi terakhir peringkat kumpulan Rabu ini di venue sama dan skuad negara dilihat mempu­nyai peluang tipis untuk melangkah ke peringkat seterusnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN