Malaysia buru satu emas di Argentina - Utusan Malaysia

Malaysia buru satu emas di Argentina

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 25 Sept. – Malaysia menyasarkan pencapaian lebih baik dalam penyertaan Sukan Olimpik Belia 2018 dengan sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat emas.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria bagaimanapun tidak mendedahkan sasaran itu diletakkan kepada mana-mana atlet tertentu.

“Saya yakin atlet yang mengambil bahagian kali ini mampu membawa pulang pingat emas pertama negara. Cuma siapa yang akan bawa pulangnya, saya tidak pasti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Saya tidak mahu mereka rasa tertekan jika diletakkan sasaran spesifik. Saya hanya mahu mereka merasai pengalaman bertanding pada temasya yang seakan Sukan Olimpik sebenar,” katanya selepas Majlis Penyerahan Jalur Gemilang oleh Kedutaan Argentina, di sini, malam ini.

Pemain badminton negara, Goh Jin Wei dipilih sebagai pemegang Jalur Gemilang ke Sukan Olimpik Belia 2018 di Beunos Aires, Argentina yang dijadual bermula 6-18 Oktober ini.

Juara dunia remaja 2015 itu secara peribadinya menyasarkan pingat emas dalam penyertaan pertamanya.

Atlet muda berusia 18 tahun itu ternyata tidak gentar dan berkeyakinan meletakkan sasaran tinggi berdasarkan prestasi semasanya.

“Saya tidak pernah beraksi menentang kebanyakan pemain yang bakal bertanding nanti tapi saya yakin mampu berikan kemenangan kepada negara. Lagi pun saya nekad untuk menjadi juara di sana nanti.

“Kemenangan di Argentina nanti mampu beri semangat kepada saya mahu pun pemain badminton muda lain untuk berusaha melayakkan diri ke Sukan Olimpik kemudian,” katanya.

Bagaimanapun, Jin Wei tidak mahu mengambil mudah dengan lawannya dan akan membuat video analisis mengenai corak permainan mereka.

Dari segi persiapan, beliau mengakui telah bersedia mental dan fizikal walaupun mengalami kecederaan lutut kanan namun mengakui perkara itu tidak akan menjejaskan prestasinya pada temasya kali ketiga itu.

Kontinjen Malaysia akan diwakili 20 atlet dari tujuh jenis sukan dan 13 pegawai pada temasya yang menjadi platform buat atlet muda negara untuk lebih bersemangat mengejar slot ke Sukan Olimpik.

Selain Jin Wei, atlet lain yang layak secara merit ke temasya itu ialah Kimberly Bong dan Jellson Jabilin (terjun), Low Zheng Yong dan Arvin Singh (renang), Muhammad Fakhrul Abdul Aziz (olahraga), Zarith Imaan Khalid dan Rayna Hoh Khai Ling (gimnastik), Alice Chang Li Sian dan Choong Javen (ping pong), Chong Xian Hao (triathlon) dan pasukan hoki lima sebelah lelaki. – BERNAMA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini