KUALA LUMPUR 6 Sept. – Malaysia merupakan antara negara di rantau ini yang berjaya mengguna pakai sistem teknologi kewangan (fintech) terutamanya penglibatan pengguna melalui telefon mudah alih dalam memudahkan lebih banyak pembayaran digital.
Naib Presiden Bersekutu, IDC Financial Insights, Michael Araneta berkata, Malaysia amat berupaya untuk berjaya terutamanya dari segi pembayaran pantas, pengesahan pembayaran yang lebih selamat dan keupayaan pelanggan untuk membuat pembayaran di kedai-kedai berbeza.
Namun begitu, beliau berkata, Malaysia agak ketinggalan dalam beberapa aspek antaranya dari segi inovasi analisis data, pengurusan risiko dan pengurusan penipuan (fraud management).
“Kami mahu melihat Malaysia memikirkan semula apa jenis perkhidmatan kewangan yang mampu diberikan pada masa hadapan, kita tidak mahu lihat banyak produk dan perkhidmatan yang sama ditawarkan oleh syarikat-syarikat berbeza kepada pelanggan.
“Syarikat perbankan perlu mula mempertimbangkan perkhidmatan seperti nasihat kewangan atau bantuan kepada pelanggan melalui perkhidmatan fintech yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui pada Sidang Kemuncak Inovasi Kewangan di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Penyelidikan IDC Financial Insights, Sui Jon Ho dan Ketua Inovasi Maybank, Amran Hassan.
Sementara itu Jui Ho dalam ucapan pembukaannya berkata, sistem perbankan terbuka dijangka mengubah perkhidmatan kewangan di Malaysia dalam usaha meningkatkan persaingan dan mengurangkan kos serta memupuk inovasi dan menangani hak pengguna.
Beliau berkata, konsep perbankan terbuka telah memberi peluang dan manfaat kepada kedua-dua institusi kewangan dan penyedia perkhidmatan pembayaran selain kepada pengguna itu sendiri.
“Kami melihat banyak inovasi pembayaran baharu yang dibangunkan melalui saluran digital dan ini membantu pengguna untuk mengawal dan memahami kewangan dan data perbankan mereka,” katanya.











