KUALA LUMPUR 7 Sept. – Sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September depan, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) akan menganjurkan Malam Deklamasi Puisi MAYC Sayangi Malaysia pada Sabtu 8 September ini.
Program yang akan berlangsung selama tiga jam dari pukul 8 malam di Wisma Belia, Jalan Syed Putra dekat sini itu akan dirasmikan oleh Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said.
![]() |
|
A. Samad Said
|
Selain beliau, program pada malam esok akan dimeriahkan dengan kehadiran penyanyi puisi seperti Siso Kopratasa, Adiwangsa Sukma, Kelab Kau Sumber Inspirasi Hajjah Fauziah, Rashidi Abdullah dan Dinie & Khai (pemuisi buta).
Menurut Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Syahbuddin Hashim, MAYC sememangnya sentiasa menganjurkan program-program berbentuk patriotik dan kenegaraan seperti.
“Di Kelantan hari ini kita anjurkan perarakan dan perlumbaan bot sempena Hari Kemerdekaan ke-61.
“Esok pula kita akan bersama-sama Pak Samad untuk mengalunkan bait-bait puisi,” katanya.
Pada program ini ahli-ahli MAYC dari seluruh negara akan hadir bagi sama-sama mendeklamasikan puisi patriotik.
Selain itu golongan belia dari pusat pemulihan akhlak dan pusat latihan orang kurang upaya turut dijemput bagi sama-sama merasai semangat cintakan negara. – UTUSAN ONLINE











