Mahu lihat NGO Melayu bersatu - Utusan Malaysia

Mahu lihat NGO Melayu bersatu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEWAKTU menjadi pengerusi Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) tidak lama dulu, Datuk Seri Zaienal Abidin Omar banyak membantu meningkatkan kebajikan golongan seni di negara ini.

Antaranya memperjuangkan skim pencen terutamanya para pelakon veteran era tahun 1950-an dan 1960-an yang sudah uzur serta tidak mampu lagi untuk mencari rezeki dalam bidang lakonan.

Perjuangan Zaienal dalam kerja-kerja kemasyarakatan tidak terhenti setakat itu sahaja, sebaliknya beliau juga aktif dalam Persatuan Kebajikan Islam dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida).

Malah, anak jati negeri Kedah ini melihat pembabitannya sebagai antara pengasas Pekida mampu untuk menyumbang idea dan tenaganya dalam skop yang lebih luas menerusi persatuan itu.

Menurut beliau, perpecahan yang berlaku dalam kalangan orang Melayu termasuk ekonomi dan politik mereka sejak akhir-akhir ini mencetuskan inspirasi kepadanya lebih aktif dalam Pekida.

“Semasa dalam industri hiburan dulu, cabaran saya agak besar kerana dunia glamor mudah mencuri tumpuan ramai dan ia tidak seperti sekarang yang lebih banyak dalam isu-isu yang lebih luas.

“Dalam Pekida, ada pihak-pihak yang rasa tidak puas hati atau sangsi tetapi kita boleh selesaikan isu-isu yang timbul secara diam-diam. Ini bukannya kerja mudah kerana ia melibatkan soal sikap.

“Tetapi saya percaya pelbagai langkah perlu dibuat yang mana kalau tiada langkah pertama maka tidak akan ada langkah yang keseribu,” katanya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Kata Zaienal, pengalamannya bercampur gaul dalam masyarakat yang berbilang kaum sejak zaman remaja banyak membantunya meneruskan agenda Pekida yang ditunjangi oleh kaum Melayu.

Bagi mendepani masalah-masalah yang sedang dihadapi oleh orang Melayu, beliau komited meneruskan agenda utama Pekida iaitu menyatukan kaum ini tanpa mengira fahaman politik.

Namun, beliau tidak menafikan cabaran membawa isu-isu yang berlaku dalam dunia artis dan masyarakat Melayu adalah dua perkara yang berbeza, malah ia kini jauh lebih mencabar.

“Kalau dulu skop saya hanya membantu golongan artis dalam dunia hiburan sahaja tetapi sekarang ia lebih luas lagi terutamanya dalam membela kebajikan orang Melayu dalam banyak aspek.

“Apatah lagi, sekarang ini saya tengok banyak perpecahan yang sedang berlaku dalam kalangan orang Melayu dan juga melalui parti-parti politik ataupun kerana perselisihan fahaman agama.

“Jadi, dengan adanya sedikit sebanyak pengalaman dalam masyarakat selama ini, saya harap akan dapat memberikan perkhidmatan kepada orang-orang Melayu semampu yang boleh,” ujarnya.

Sebagai aktivis dalam masyarakat, beliau banyak menjadikan arwah bapanya sebagai idola yang telah terbabit dalam kerja-kerja kemasyarakatan sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Tambah beliau, niat dan keikhlasan para pejuang kemerdekaan terutama orang-orang Melayu yang berjuang tanpa memikirkan kepentingan peribadi juga banyak memberi inspirasi kepadanya.

“Mereka berjuang secara ikhlas dan berkorban duit dan masa untuk orang-orang Melayu. Sedangkan pada hari ini, ramai orang yang kononnya berjuang tetapi mereka bermotifkan keuntungan.

“Sekarang kalau mahu buat sesuatu perhimpunan kena sediakan bas, makan, minum dan tempat untuk perjumpaan. Sedangkan orang Melayu dulu sanggup lakukannya secara sukarela.

“Contohnya, kalau dulu ahli-ahli Pekida diperlukan untuk berkumpul mereka akan datang beramai-ramai. Kalau ada ahli-ahli yang ditimpa kesusahan mereka akan segera datang menolong.

“Kalau ada kenduri kendara pula mereka akan datang bergotong-royong membantu. Tetapi perkara-perkara seperti ini nampaknya sudah semakin terhakis kerana perubahan zaman,” jelasnya.

Biarpun sering dikaitkan dengan politik, tetapi Zaienal berharap agar ahli-ahli Pekida memahami akan agenda dan perjuangan sebenar pertubuhan itu demi kepentingan orang Melayu.

Malah, pada masa sama beliau menyeru semua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak-hak dan kepentingan orang Melayu bersatu tanpa mengira ikutan politik.

“Cuma Pekida sepatutnya bebas daripada fanatik kepada mana-mana parti politik. Sebab itu, saya mahu Pekida lebih fokus dalam memperjuangkan agenda-agenda Melayu dan agama Islam.

“Terus terang saya katakan, saya adalah orang Pakatan Harapan dan penyokong tegar Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak dulu lagi. Saya tidak akan berganjak daripada sokongan itu.

“Ini kerana Pekida menjunjung kedaulatan raja-raja dan para pemimpin Melayu. Hari ini Tun Dr. Mahathir adalah pemimpin kita, maka kita kenalah terus menyokong beliau,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN