Mahkamah tolak jawab isu pelantikan hakim - Utusan Malaysia

Mahkamah tolak jawab isu pelantikan hakim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 24 Sept. – Mahkamah Persekutuan sebentar tadi memutuskan untuk tidak menjawab empat persoalan undang-undang berhubung kesahan pelantikan Tun Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan.

Panel enam hakim diketuai oleh Tan Sri Hasan Lah ketika menyampaikan pendirian mahkamah berpuas hati bahawa isu yang dibangkitkan kini akademik.

Sementara itu, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zaharah Ibrahim memutuskan menarik diri daripada menganggotai panel tersebut.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sehubungan itu, mahkamah menolak rujukan perlembagaan yang dibangkitkan oleh Majlis Peguam dan Persatuan Peguambela Sarawak (AAS) berhubung isu pelantikan kedua-dua hakim tertinggi itu.

Rujukan perlembagaan tersebut dikemukakan ketika di Mahkamah Tinggi dalam saman pemula oleh Majlis Peguam bagi menentukan kesahan pelantikan Raus dan Zulkefli ke jawatan masing-masing.

Majlis Peguam dan AAS berpendirian, walaupun kedua-dua hakim tertinggi itu telah bersara pada 31 Julai lalu, persoalan undang-undang yang dikemukakan berhubung lanjutan tempoh perjawatan dan pelantikan hakim adalah penting dan menjadi panduan pada masa akan datang.

Sementara itu, tiga pihak lagi terdiri daripada Persatuan Peguam Muslim Malaysia selaku pencelah, Persatuan Undang-Undang Sabah sebagai sahabat mahkamah (amicus curiae) manakala Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selaku pemerhati turut sependapat dengan kedua-dua badan peguam tersebut.

Majlis Peguam memfailkan saman pemula pada 10 Oktober tahun lalu untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa pelantikan Raus dan Zulkefli tidak sah dan berperlembagaan kerana kedua-duanya melepasi umur persaraan mandatori 66 tahun, enam bulan.

Pada 19 Disember tahun lalu, Mahkamah Tinggi menangguhkan prosiding dan merujuk lima persoalan undang-undang ke Mahkamah Persekutuan bagi menentukan kesahan pelantikan kedua-dua hakim tersebut. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini