PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengumumkan keluar daripada UMNO kerana hala tuju parti itu pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya sebagai sudah terlewat dan sepatutnya dibuat lebih awal.
Jelas beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan, UMNO kini sudah rosak disebabkan oleh pelbagai skandal dan penyelewengan.
“Barangkali dah sedar tapi lambatlah sikit, (patut) dia sedar awal lagi UMNO dah rosak, baru nak keluar la ni tak apalah,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Anugerah Francais Malaysia 2018 di sini malam ini.
Ketika ditanya jika Mustapa berhasrat untuk menyertai Pakatan Harapan (PH), Mahathir berkata, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu perlu membuktikan bahawa dirinya sudah berubah dan berbeza daripada perjuangannya sebelum ini.
“Tak tau, dia tak kata apa pun (hasrat sertai (PH), kalau dia nak sertai dia perlu tunjuk berlainan daripada dulu,” jelas beliau.
Hari ini, Mustapa mengumumkan keluar daripada UMNO selepas lebih 40 tahun berkhidmat dalam parti itu selepas hala tuju UMNO pada masa kini tidak selari dengan perjuangannya.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas bermuhasabah dan berfikir dengan mendalam serta kini menjadi Ahli Parlimen Bebas.
Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu turut meletak jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan berpandangan usaha ke arah memulihkan defisit kepercayaan dan imej parti semakin sukar.
Mustapa memberitahu UMNO selaku peneraju Barisan Nasional tidak boleh bergantung kepada sokongan orang-orang Melayu dan bumiputera semata-mata untuk terus relevan.
Katanya, UMNO harus menjadi sebuah parti yang inklusif, sederhana dan berhaluan tengah.
Beliau mula terlibat dalam UMNO bermula pada 1988 ketika menyandang jawatan Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Pernah menyandang portfolio Menteri Pengajian Tinggi, Menteri Kewangan II serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia.
Mustapa dipilih sebagai wakil rakyat selepas memenangi kerusi Parlimen Jeli menerusi Pilihan Raya Kesembilan iaitu pada tahun 1995.
Beliau kemudian dilantik sebagai Menteri Pembangunan Usahawan pada Mei 1995, sebelum menyandang jawatan Menteri Kewangan II pada September 1998.
Selain menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO, beliau pernah dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO pada 2000 sebelum diberikan tugas sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan serta Pengerusi Barisan Nasional Kelantan dari 2000 hingga 2004. – K! ONLINE











