ALOR SETAR – Seramai lima pelajar cedera selepas terkena siling yang runtuh dan serpihan kaca dalam kejadian ribut di Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 pagi itu, seorang pelajar tingkatan tiga, Teoh Shi Wan cedera pada kepala selepas terkena siling yang runtuh.
Sementara empat pelajar lain iaitu Oii N Gel, Oii Nian Ning, Loxe Chong Yee Xin dan Maisy Lee Zi Yee mengalami kecederaan pada bahu, kaki dan tangan dipercayai akibat terkena serpihan kaca yang pecah.
Kesemua pelajar yang cedera itu dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Pengetuanya, Wong Ghee Hong berkata, kebanyakan pelajar sudah berada dalam pekarangan sekolah ketika kejadian ribut yang berlaku dalam masa beberapa minit sahaja.
“Pelajar yang cedera itu dipercayai berada dalam kelas dan kaki lima bangunan sekolah,” katanya.
Selain itu, Ghee Hong memberitahu, hampir kesemua bahagian bumbung di enam buah bangunan di sekolah ini terjejas akibat kejadian ribut pagi tadi.
“Pihaknya sekolah masih belum mengenal pasti jumlah kerugian namun dianggarkan kos untuk membaik pulih bangunam tersebut mencecah antara RM40,000 hingga RM80,000,” katanya. – K! ONLINE











