TAIPING 15 Sept. – Seorang lelaki cedera setelah payung terjunnya tersasar dan tersangkut pada kubah Masjid Tekah di sini ketika menyertai latihan payung terjun, hari ini.
Difahamkan, latihan payung terjun oleh sebuah kelab rekreasi itu disertai seramai 22 orang peserta termasuk mangsa.
Bagaimanapun, hanya payung terjun Mohamad Affizul Mohamad Bee, 25, yang tersasar pada kubah masjid dipercayai akibat tiupan angin sebelum lelaki itu menggelungsur ke bahagian bumbung masjid.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Rafeel Hairul Richard berkata, anggota dihantar ke tempat kejadian sebaik sahaja pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.48 petang.
Katanya, operasi menurunkan mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian belakang badan segera dijalankan menggunakan tali dan pengusung.
“Kerja-kerja menurunkan mangsa mengambil masa antara lima ke 10 minit. Kita menggunakan bucket strecher bagi menurunkan mangsa yang cedera dari tempat tinggi.
“Mangsa diserahkan kepada pihak ambulans untuk dibawa ke hospital dan operasi tamat pada pukul 4.25 petang,” katanya. – UTUSAN ONLINE










