KUALA LUMPUR 10 Sept. – Polis telah menahan lelaki yang didakwa merakam menggunakan telefon bimbit dari arah bawah skirt seorang wanita di Publika Solaris Duta Mas, di sini hari ini.
![]() |
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R. Munusamy berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 1 petang di lokasi kejadian tersebut.
“Suspek telah ditangkap dan dibawa ke IPD Sentul untuk proses mengambil keterangan.
“Siasatan sedang berlangsung sebelum tindakan selanjutnya diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi, di sini hari ini.
Semalam, satu laporan polis dibuat mangsa yang bertugas sebagai juruoptik mendakwa suspek telah melakukan perbuatan tersebut ketika dia sedang menjalankan pemeriksaan mata terhadap Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd. Azis Jamman.

Suspek juga telah dipecat daripada menjadi pegawai khas Mohd. Azis selepas timbalan menteri itu mengeluarkan satu kenyataan berhubung kes tersebut semalam. – UTUSAN ONLINE











