KUALA LUMPUR 25 Sept. – Seorang lelaki ditemukan maut dalam kereta dipandunya dalam kejadian di Kilometer 35.2, Lebuh raya Shah Alam (Kesas), di Subang Jaya dekat sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, Timbalan Penguasa Bomba Syed Shahril Anuar Syed Sulaiman berkata, mangsa berusia 58 tahun sedang dalam perjalanan dari Shah Alam menghala ke Kuala Lumpur.
“Kita terima panggilan pada pukul 6.12 petang memaklumkan terdapat seorang lelaki yang tidak sedarkan diri di dalam kereta selepas terbabas di lokasi kejadian.
“Sebanyak lapan anggota dikejarkan ke tempat kejadian dan cermin kenderaan berjaya diumpil sebelum mangsa dikeluarkan untuk diberikan bantuan pernafasan,” katanya ketika dihubungi di hari ini.
Tambah Syed Shahril, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Pusat Perubatan Universiti Malaya yang tiba dengan menaiki ambulans tidak lama selepas itu. – UTUSAN ONLINE











