Lelaki ditemui maut di tepi jalan berhampiran parit - Utusan Malaysia

Lelaki ditemui maut di tepi jalan berhampiran parit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT BUNTAR – Seorang lelaki ditemui tidak sedarkan diri di tepi jalan berhampiran sebatang parit di Parit Lintang, Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira pada pukul 5.30 pagi itu, mangsa, Mohd. Zulhilmi Jalaludin, 32, dan motosikalnya terbalik ditemui orang awam yang melalui jalan tersebut.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 5.40 pagi sebelum anggota segera ke lokasi kejadian.

“Siasatan mendapati mangsa terbabas dengan sendiri sebelum motosikalnya terbalik di tepi jalan berhampiran sebatang parit.

“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Menurut Omar Bakhtiar, mangsa dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum terbabas di tempat kejadian.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Parit Buntar untuk proses bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia disebabkan kecederaan pada bahagian kepala,” katanya.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN