KUALA LUMPUR 28 Sept. – Lebihan dagangan Malaysia dijangka mengecil kepada RM6.4 bilion pada Ogos berbanding RM8.3 bilion yang direkodkan pada Julai lalu.
Menurut Moody’s Analytics, kategori teknologi muncul kembali dengan eksport meningkat sebanyak 23.6 peratus tahun ke tahun pada Julai dan tidak berkemungkinan mengulangi prestasi sama pada Ogos.
Katanya, penghantaran barangan elektrik dan elektronik masih membantu menyerap kelemahan yang berterusan dalam penghantaran minyak sawit.
“Penghantaran minyak sawit beberapa bulan lalu bergelut dari segi asas jumlah dan nilai.
“Harga minyak sawit semakin baik pada September yang menyumbang kepada eksport yang lebih baik dalam keadaan ringgit yang lemah,” katanya dalam Previu Ekonomi Asia Pasifik untuk 1 hingga 5 Oktober 2018 di sini hari ini.
Moody’s Analytics merupakan penyedia perkhidmatan dan perisian analisa kewangan di bawah Moody’s Corporation.
Prestasi dagangan untuk Ogos 2018 dijangka diumumkan minggu depan.
Jelas Moody’s Analytics, akaun semasa negara yang secara konsisten mencatat lebihan menjadikan ekonomi dan pasaran Malaysia dalam kalangan negara pasaran baharu muncul, antara paling kurang terkena kesan negatif daripada ketidaktentuan pasaran global.
Tambahnya, Malaysia mempunyai kelebihan relatif yang mana ia terus mencatat lebihan dalam akaun semasanya.
“Ini menjadikan Malaysia kurang terdedah kepada perubahan buruk dalam sentimen pasaran serta kejatuhan kadar tukaran asing berbanding negara pasaran baharu muncul lain yang berdepan defisit akaun semasa,” katanya.











