Lebih sejuta orang berpindah - Utusan Malaysia

Lebih sejuta orang berpindah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON – Lebih sejuta orang di sepanjang pantai negeri Carolina berpindah ke kawasan tinggi kelmarin dalam perpindahan besar-besaran yang bermula tiga hari menjelang ketibaan Taufan Florence, ribut Kategori 4 dan paling kuat pernah melanda rantau berkenaan sejak hampir tiga dekad lalu.

Membawa angin berkelajuan maksimum 220 kilometer sejam, Taufan Florence dijangka menjadi lebih kuat sebelum tiba di daratan esok, berkemungkinan besar di tenggara negeri Carolina Utara dekat sempadan Carolina Selatan, kata Pusat Taufan Kebangsaan di Miami (NHC).

Pihak berkuasa memberi amaran tentang peningkatan paras air laut dan risiko Florence membawa hujan lebat dan banjir ke beberapa buah negeri terutamanya jika ribut itu berada di daratan selama beberapa hari.

“Florence dijangka menjadi taufan berbahaya sepanjang Khamis ini,” kata NHS dalam buletin terbaharunya. Gabenor Carolina Utara, Roy Cooper memberitahu sidang akhbar bahawa negerinya berada dalam mata taufan itu.

Menyedari tentang kemusnahan yang dibawa beberapa taufan berbahaya pada tahun lalu, penduduk di dua negeri Carolina itu mula melakukan persiapan menghadapi bencana seperti memasang penghadang tingkap dan menyediakan bekalan makanan, air serta bahan api yang mencukupi.

Berada dalam Kategori 4 daripada lima peringkat taufan dalam skala taufan Saffir-Simpson, Florence merupakan ribut paling kuat yang mengancam tanah besar Amerika Syarikat (AS) tahun ini dan ribut terkuat pertama yang diramal membadai Carolina Utara dan Selatan sejak tahun 1989.

Sebagai persiapan menghadapi Florence, Gabenor Carolina Selatan, Henry McMaster mengarahkan kira-kira sejuta penduduk tepi pantai di negerinya berpindah ke kawasan selamat.

“Trafik sesak sepanjang 14 kilometer di sesetengah tempat,” kata seorang pesara Paul Jones.

Sementara itu, Presiden AS, Donald Trump yang pernah dikritik kerana lambat bertindak membantu mangsa Taufan Maria di Puerto Rico tahun lalu, memutuskan untuk membatalkan perhimpunan politik yang dirancang pada Jumaat ini di Jackson, Mississippi atas faktor keselamatan berikutan Taufan Florence, kata kempennya. – Reuters

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN