KOTA BHARU – Polis Kelantan merampas lebih satu juta biji dadah dipercayai pil kuda bernilai RM23.6 juta dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kampung Banggol Setol, Alor Pasir, Pasir Mas Khamis lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hasaan berkata, rampasan berkenaan adalah yang terbesar dilakukan oleh polis Kelantan pada tahun ini membabitkan pil jenis berkenaan.
Beliau berkata, seorang pemandu lori berusia 31 tahun yang juga dipercayai sebagai penjaga stor rumah berkenaan turut ditahan dalam serbuan pada pukul 1.15 pagi itu.
“Pemeriksaan di dalam rumah berkenaan menemui lima guni mengandungi 197 bungkusan berisi pil disyaki pil kuda.
“Lelaki yang ditahan itu bagaimanapun tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan dadah dan negatif ujian air kencing,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini. – Bernama











