Lebih 50 peratus penjara sesak - Utusan Malaysia

Lebih 50 peratus penjara sesak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Lebih 50 peratus daripada 37 penjara di seluruh negara yang menempatkan sebanyak 61,000 banduan menga­lami kesesakan.

Timbalan Ketua Se­tiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Nadzri Siron berkata, sebanyak 20 penjara itu mengalami kesesakan berikutan bilangan banduan melebihi kapasiti sepatutnya.

“Penjara paling sesak dan mempunyai jumlah banduan tertinggi ialah Penjara Pengkalan Chepa di sini yang melebihi 2,900 banduan yang sepatutnya hanya dihuni oleh 1,500 penghuni,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Mesej dari Penjara Peringkat Zon Timur 2018 di Dewan Keusahawanan Universiti Malaysia Kelantan Kampus Kota di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pe­ngarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar; Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan dan Timbalan Naib Canselor UMK, Prof. Dr. Zaliman Sauli.

Menurut Nadzri, usaha sedang dilakukan untuk mendapatkan peruntukan bagi penambahbaikan serta pembinaan bangunan baharu bagi menangani kesesakan banduan di Penjara Pengkalan Chepa.

“Penjara baharu seperti Penjara Sungai Buloh dan Penjara Kajang di Selangor serta Penjara Sungai Udang, Melaka tidak sesak teruk kerana pembinaan penjara baharu ini menggunakan konsep sel,” ujarnya.

Kata beliau, beberapa program turut dilaksanakan untuk mengurangkan kesesakan dalam penjara antaranya ialah Program Pemulihan dan Pemasyarakatan di enam kem tentera termasuk Kem Desa Pahlawan di sini dan Kem Gemas di Negeri Sembilan bagi banduan melaksanakan tugas luar penjara.

“Kita juga menggalakkan majikan yang sudi mengambil banduan sebagai pekerja mereka sebagai satu langkah untuk me­ngurangkan kesesakan dalam penjara,” katanya.

Beliau juga berkata, sebanyak 3,700 banduan muda berusia bawah 21 tahun yang menjadi penghuni penjara terlibat dengan dadah.

“Kerajaan sedang mengkaji undang-undang sedia ada untuk meletakkan mereka yang terlibat masalah penagihan dadah ini di pusat-pusat pemulihan dan bukan di penjara,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini