JOHOR BAHRU 16 Sept. – Bagi menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan, Pulai Springs Resort di sini menganjurkan program Larian Anak Malaysia dan Bina Jalur Gemilang bersama-sama murid Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Universiti 2, baru-baru ini.
Pengurus Besar Pulai Springs Resort, Sunny Soo berkata, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) resort itu disertai kira-kira 30 murid dari tahun tiga dan lima sekolah berkenaan.
Menurutnya, penganjurannya bertujuan menyemai serta memupuk semangat patriotik dan cintakan negara selain perpaduan dalam kalangan kanak-kanak.
“Selesai acara larian, murid-murid diberi peluang menghasilkan Jalur Gemilang menggunakan cawan polistirena serta empat cat berlainan warna iaitu merah, putih, kuning dan biru.
“Setelah siap dicat, cawan tersebut kemudiannya dilekatkan di atas papan lapis untuk menghasilkan Jalur Gemilang yang lengkap,” katanya di sini baru-baru ini.
Soo memberitahu, ini merupakan kali keempat resort berkenaan menganjurkan program seumpama itu bersempena sambutan Hari Kebangsaan.
Ujarnya, kesemua murid terlibat turut diberi cenderamata berupa beg yang mengandungi bendera Jalur Gemilang, sijil penyertaan serta buku cerita yang ditaja Kumpulan Pelangi Publishing serta alat tulis manakala tiga pemenang larian membawa pulang pingat, hamper dan sijil.










