Minggu lalu kerajaan mengumumkan penguatkuasaan larangan penggunaan penyedut minuman atau straw yang diperbuat daripada plastik di Wilayah Persekutuan berkuat kuasa 1 Januari 2020 dan ditujukan kepada peniaga serta pengusaha kedai makan yang memiliki lesen perniagaan.
Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah, Datuk Seri Adnan Md. Ikhsan berkata, larangan itu akan tertera dalam syarat-syarat lesen perniagaan mulai 1 Januari 2019.
Langkah pembaharuan kerajaan itu menerima pelbagai reaksi berbeza daripada orang ramai yang mana sebahagian kecil mereka tidak memahami mengapakah larangan itu dikenakan terhadap barang yang bersaiz kecil berbanding produk berasaskan plastik yang lain.
Netizen di media sosial turut mempersembahkan idea kreatif ‘lawak’ mereka dengan menggunakan pelbagai bahan lain bagi menggantikan straw plastik seperti penggunaan salur getah, minum secara terus air yang dibungkus dan batang paip PVC.
Mengapa kerajaan berbuat demikian? Tindakan itu sebenarnya bertujuan untuk melindungi dan memelihara alam sekitar kerana straw plastik konvensional boleh mendatangkan kemudaratan kepada hidupan kerana sifatnya yang sukar terurai dan mengambil masa yang lama untuk dilupuskan.
Beberapa negara turut mengharamkan penggunaannya straw plastik seperti United Kingdom, Taiwan, Hawaii, Scotland, Costa Rica, Kanada, India dan beberapa negeri di Amerika Syarikat (AS).
Sebagai alternatif straw yang diperbuat daripada bahan biodegradasi, kertas, besi tahan karat, buluh, kaca dan silikon menjadi pilihan sebagai pengganti straw plastik. Tetapi setiap alternatif yang dikemukakan, biasanya akan memberi pelbagai respon, antaranya:
* Harga minuman akan naik
Rata-rata perniagaan dan pengusaha kedai makan akan mencari alternatif yang mesra alam dan majoritinya menganggap straw kertas adalah penyelesaian terbaik.
Bagaimanapun, syarikat produk perkhidmatan makanan dari AS, PacknWood menyatakan bahawa kos untuk menghasilkan straw daripada kertas adalah lebih mahal berbanding plastik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Adam Merran dalam sebuah program terbitan CNBC berkata, pilihan yang ada mungkin akan mengakibatkan peningkatan kos sebanyak 10 kali ganda kepada perniagaan.
Menurut beliau, harga sebatang straw kertas berharga AS$0.25 sen (RM1.03) berbanding AS$0.05 (RM0.21) sen untuk straw plastik.
Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) turut menyuarakan kebimbangan terhadap alternatif lain yang dicadangkan itu memandangkan ia boleh menyebabkan harga minuman meningkat.
Ini kerana straw mudah terurai diperbuat daripada bahan yang agak mahal dan peniaga mungkin akan mengalihkan kos berkenaan kepada pengguna sekali gus membebankan mereka.
Di Malaysia menaikkan harga telah menjadi ‘budaya’ apabila wujud sedikit kenaikan dalam kos operasi berbanding menurunkan harga ketika kos operasi menurun.
Sementara itu, bagi hotel, restoran, kafe yang terkemuka mereka tidak menghadapi masalah besar untuk beralih kepada alternatif lain kerana mempunyai kemampuan dari segi kewangan dan dijangka mampu menyerap kos berkenaan.
* Peluang perniagaan
Bagi pemain industri pula mereka harus melihat langkah kerajaan itu sebagai peluang perniagaan baharu. Penghasilan straw alternatif yang lebih murah dan tahan lasak memang menjadi pilihan peniaga dan pengusaha kedai makan.
Contohnya penghasilan straw kertas menggunakan bahan yang lebih murah seperti barang kitar semula atau daripada bahan organik berbanding kertas baharu sepenuhnya.
Bagi memastikan harga straw alternatif kekal rasional pihak kerajaan perlu memastikan tidak wujud monopoli dalam pasaran supaya peletakan harga ditentukan oleh penawaran dan permintaan serta persaingan.
Straw daripada besi, buluh, silikon atau kertas harus mempunyai kelenturan yang baik agar fungsinya sama seperti straw plastik. Faktor itu penting bagi mengelakkan orang ramai daripada menghadapi kesukaran semasa menggunakannya.
Inovasi terbaik akan menjadi pilihan peniaga dan pengusaha kedai makan untuk menggunakannya. Walaupun straw adalah produk yang kecil dan ringkas tetapi penggunaannya yang meluas dalam kehidupan seharian pasti mendapat permintaan yang tinggi.











