PUTRAJAYA – Satu laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa seorang setiausaha politik di sebuah kementerian dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini hari ini.
Setiausaha Pengelola Angkatan Muda Keadilan, Ahmad Syukri Che Razak berkata, bukti gambar mesyuarat dan rakaman audio telah diserahkan kepada badan penguat kuasa itu berhubung dakwaan tersebut.
Jelasnya, setiausaha politik itu cuba menyogok pemimpin-pemimpin tempatan PKR di sebuah lokasi di Pahang pada 1 September lalu berkaitan pemilihan parti itu.
“Dalam mesyuarat tersebut, setiausaha politik ini telah menawarkan kontrak pembangunan atau baik pulih infrastruktur bernilai RM20,000 kepada setiap pemimpin-pemimpin setempat yang hadir.
“Setiausaha politik itu juga memaklumkan bahawa dia akan mendapat peruntukan sebanyak RM300,000 daripada sebuah kementerian lain dan bakal mendapat peruntukan daripada satu lagi kementerian untuk diagih-agihkan kepada pemimpin-pemimpin setempat,” katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar di hadapan ibu pejabat SPRM.
Jelasnya, maklumat mengenai perkara tersebut diperolehi pada 24 September lalu menerusi sebuah pemacu pena yang diserahkan oleh seorang pengadu.
Ujarnya, dia berharap agar SPRM dapat melakukan siasatan terhadap perkara tersebut kerana individu tersebut merupakan salah seorang calon jawatan Majlis Pimpinan Pusat PKR selain turut bertanding bagi jawatan Ketua Cabang di kawasannya. – K! ONLINE










