PUTRAJAYA 13 Sept. – Laporan penuh bagi siasatan terhadap dakwaan penyelewengan dana sebanyak RM300 juta milik tabung Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan hadapan.

Menteri Sumber Manusia, M. Kulasegaran berkata, setakat ini pihaknya telah menerima laporan awal berhubung siasatan tersebut oleh sebuah badan bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat perkara tersebut.
“Kita akan maklumkan kepada semua apakah cadangan dan tindakan yang akan diambil berhubung perkara ini selepas menerima laporan penuh daripada badan bebas itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Hari Menentang Buruh Kanak-Kanak Sedunia 2018 di sini hari ini.
Jun lalu, Kulasegaran mengumumkan lima anggota Jawatankuasa Pemantauan Bebas Tadbir Urus dilantik bagi meneliti semula dana Pembangunan Sumber Manusia Berhad (PSMB) selain menyiasat dan menyelesaikan aduan terhadap PSMB.
Dalam pada itu, ditanya mengenai penyebaran gambar curang dan seks yang dikaitkan dengan seorang pegawai kanannya, beliau berkata, perkara tersebut telah diserahkan kepada pihak polis.
“Itu cerita lama, sudah lebih dua tahun berlaku. Laporan polis juga telah dilakukan dan masih dalam siasatan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE










