Lancar laluan Surat Thani–KB - Utusan Malaysia

Lancar laluan Surat Thani–KB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU – Penerbangan terus yang dilancarkan oleh syarikat pe­nerbangan Malindo Airways Sdn. Bhd. (Malindo Air) dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surat Thani, Thailand ke Kota Bharu (KB) bakal menarik lebih ramai pelancong ke negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan Pelancongan dan Warisan negeri, Datuk Md. Anizam Ab. Rahman berkata, penerbangan antarabangsa terbaharu itu juga akan memberi ruang kepada pihaknya untuk mempromosikan Kelantan kepada pelancong asing.

“Melalui penerbangan ini, pelancong asing dari pelbagai negara yang melancong ke Thailand diberi peluang menikmati percutian di Kelantan.

“Kami jangka ini sekali gus meningkatkan jumlah kedata­ngan pelancong asing ke Kelantan bagi mencapai sasaran keseluruhan 5.23 juta pelancong domestik dan antarabangsa setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyambut ketibaan lebih 50 pelancong antarabangsa yang menaiki pe­nerbangan sulung Malindo Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Surat Thani ke Lapa­ngan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di sini semalam.

Turut hadir, Pengurus Besar Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Malaysia Airports Sdn. Bhd. (MAB), Abdul Halim Othman.

Malindo Air menyediakan penerbangan dua kali seminggu iaitu pada setiap Isnin dan Selasa bagi laluan terbaharu itu.

Md. Anizam berkata, pihak­nya akan menyediakan kemudahan, antaranya beca elektrik secara percuma bagi memberi peluang kepada pelancong me­ngenali Kelantan dengan lebih dekat.

“Pelancong akan dibawa mengelilingi bandar Kota Bharu untuk mengenali budaya dan warisan, keindahan alam se­mula jadi serta menikmati sajian Kelantan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Halim berkata, LTSIP menerima kira-kira 40 penerbangan sehari de­ngan hampir 2,000 penumpang pada hari biasa.

Katanya, jumlah itu meningkat kepada hampir 60 penerba­ngan pada waktu puncak de­ngan 3,000 penumpang , yang mana 10 peratus daripadanya merupakan pelancong luar negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN