Lalang menyelami erti kemerdekaan - Utusan Malaysia

Lalang menyelami erti kemerdekaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ELEMEN nasionalisme menjadi pilihan utama dalam pembikinan sesebuah naskhah terutama apabila melibatkan sambutan kemerdekaan negara.

Bukan sahaja bertujuan menyemai benih pengajaran kepada khalayak, naskhah sebegitu juga dapat menumbuhkan rasa cinta dan menghargai kehidupan bebas daripada penjajah.

Justeru, bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2018 dan Hari Malaysia 2018, stesen televisyen Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menerbitkan sebuah telefilem bertajuk Lalang.

Mengambil latar masa sekitar tahun 1940-an, Lalang memaparkan kehidupan penduduk Tanah Melayu ketika berdepan serangan tentera Jepun.

Selain memaparkan penderitaan yang dialami khalayak pada ketika tersebut, Lalang turut mempamerkan refleksi masyarakat yang hidup tanpa prinsip demi kepentingan diri, sekali gus menjadi tali barut tentera Jepun.

Menurut pengarah, Hisyamudin Ahmad, kesungguhan barisan pelakon menjayakan telefilem tersebut turut memainkan peranan dalam menyalurkan emosi kepada penonton.

“Saya berterima kasih kepada barisan pelakon yang memberikan kerjasama dan berjaya menterjemahkan watak dengan baik,” katanya.

Melanjutkan cerita, Hisyamudin mengambil tanggungjawab merealisasikan latar era 1940-an dengan memperincikan pelbagai sudut termasuk kostum dan persekitaran. Hal-hal sebegitu merupakan cabaran utama sepanjang menjayakan Lalang.

Perincian terhadap prop yang digunakan perlu dilakukan secara teliti agar tampak realistik, sekali gus mencerminkan kehidupan masyarakat pada waktu tersebut.

“Sepanjang tempoh 16 hari penggambaran, kami terpaksa berdepan dengan perubahan cuaca yang kerap hujan.

“Namun, syukur segalanya berjalan lancar dan telefilem tersebut disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” ujar Hisyamudin.

Naskhah Lalang dibintangi oleh Syazwan Zulkifly, Sasqia Dahuri, Lenny Ooi, Tay Chui Chui, Tiffany Sia, Hasnul Rahman, Zaini Abu Hassan, Wong Kam Tat, Ong Kok Hoo, Rostan Wook, Xid Haixal Asri, Muhammad Raif Ikhawan Rajali dan Muhammad Raif Irfan Rajali.

Mengisahkan perjuangan penduduk Tanah Melayu menentang tentera Jepun, Lalang fokus terhadap Embong lakonan Syazwan Zulkifly dan Ah Heng (Lenny Ooi) yang terpaksa berjuang habis-habisan untuk meneruskan hidup di bawah kekuasaan Jepun diketuai Mejar Tanaka (Qi Razali).

Pada masa tersebut, orang Cina berdepan ancaman bunuh daripada tentera Jepun. Embong harus membantu Ah Heng bersama keluarga bersembunyi di dalam hutan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×