KUALA LUMPUR 25 Sept. – Malaysia akan melakukan apa sahaja yang terdaya untuk menumpaskan Jepun dalam misi ‘hidup mati’ esok atau boleh melupakan tiket ke Piala Dunia Bawah 17 (B-17) di Peru, tahun depan.

Pasukan negara wajib menang dalam aksi terakhir Kumpulan A, Kejohanan Bawah 16 (B-16) Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Nasional, Bukit Jalil untuk menamatkan kempen selaku dua pasukan teratas, sekali gus layak ke suku akhir.
Jurulatih skuad B-16 negara, Lim Teong Kim berkata, beliau akan melakukan apa sahaja bagi memastikan kemenangan berpihak kepada anak-anak buahnya walaupun menyedari lawan mereka bukan calang-calang.
“Ketika ini, saya hanya fikir untuk melayakkan diri ke Piala Dunia B-17 dan saya tahu perlawanan esok cukup penting buat kami dan fokus kami tertumpu kepada pertemuan esok. Kami tidak fikir perkara lain. Esok adalah penentu segalanya.
“Kami bermain untuk menang dan tiada cara lain. Kami akan keluar bermain seperti biasa untuk mencapai kemenangan. Jika nak ke suku akhir kami mesti menang esok. Saya tidak mahu fikir tentang pasukan lain kerana saya hanya ambil peduli tentang pemain saya sahaja.
“Kita sudah lihat bagaimana Tajikistan boleh mencuri satu mata daripada Jepun. Jadi, tiada apa yang mustahil. Diharapkan esok adalah hari yang bertuah untuk kita,” katanya kepada pemberita di Wisma FAM hari ini.
Ketika ini, semua pasukan dalam Kumpulan A masih layak untuk melepasi peringkat awal selepas Jepun menduduki tangga teratas dengan empat mata manakala Thailand di tangga kedua berkongsi tiga mata dengan Malaysia namun dipisahkan menerusi perbezaan gol. Tajikistan di tangga tercorot dengan satu mata.
Jika menang ke atas Jepun, peluang Malaysia untuk layak ke Piala Dunia B-17 cerah, namun perlu menamatkan saingan sekurang-kurangnya dalam kelompok empat pasukan terakhir jika mahu ke Peru pada tahun depan.
Selepas dua perlawanan yang menyaksikan dua kad merah dikutip, Teong Kim berkata, pemain dalam proses pembelajaran.
“Adakalanya mereka bersikap tidak rasional tetapi kalau bukan sekarang bila lagi mereka nak diberi peluang untuk buat silap dan sebab itu kita perlu pembangunan bola sepak untuk kanak-kanak dan remaja,” ujarnya.










