KUALA LUMPUR – Mahkamah Rendah Syariah, Gombak Timur di sini sebentar tadi menetapkan 24 Oktober ini ini bagi tarikh lafaz cerai antara penyanyi Deja Moss dengan suaminya, Azfendy Azzuddin Ahmad yang dilanda kemelut.
Hakim Syarie Noranizan Mohd. Sufian membuat keputusan itu selepas mendengar keseluruhan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi mencari penyelesaian kemelut rumah tangga pasangan itu.
“Selepas mendengar laporan JKP kedua-dua belah pihak, mahkamah mendapati JKP gagal mendamaikan rumah tangga pasangan ini. Hasil laporan ini juga berlakunya shiqah dan pasangan ini juga telah tidak tinggal sebumbung selama setahun,” kata Noranizan.
Pada masa sama, tarikh itu juga ditetapkan apabila Deja selaku defendan berada dalam keadaan tidak suci ketika ini.
Sementara itu Deja atau nama sebenarnya Sharifah Hadijah Wan Moss, 45, ketika ditemui berkata, dia sudah menjangkan akan berlaku penceraian meskipun sudah melalui proses JKP.
“Saya reda dan terima penceraian ini namun apa yang saya tidak puas hati masih belum menemui jawapan kenapa dia (suami) ingin bercerai dengan saya,” ujarnya.
Dalam prosiding itu, Deja diwakili peguam syarienya Halimatunsa’diah Abu Ahmad manakala Azfendy, 39, selaku plaintif diwakili peguam syarienya Ahmad Daud.
Kosmo! Online 24 Mei lalu melaporkan Deja memohon satu laporan JKP ditubuhkan kepada mahkamah berhubung jalan penyelesaian rumah tangganya.
Laporan JKP itu bagi membolehkan kedua-dua belah pihak menjalankan proses pendamaian sebelum apa-apa keputusan berkaitan perceraian dibuat.
Dalam proses penyelesaian, JKP terdiri daripada keluarga yang rapat dengan plaintif dan defendan bertujuan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Permohonan cerai tersebut dibuat Azfendy mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 pada 5 Mac lalu.
Deja dan Azfendy berkahwin pada 30 Ogos 2008 dan belum dikurniakan cahaya mata. – K! ONLINE










